Saturday, January 24, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Prakata Penulis

1) Prakata Penulis

Bismillahirrahmanirrahim, SYUKUR alhamdulillah ku panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya jua buku ini dapat disiapkan. Kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang tidak dapat dihitung. Nikmat iman dan Islam serta nikmat wasilah (menyampai risalah Ilahi) kepada umat manusia di muka bumi iaitu Rasulullah s.a.w, keluarganya dan para sahabatnya yang diredhai serta para ulamak haq (memberi peringatan) hingga kiamat.
.
Sebelum saya memulakan penulisan buku ini pelbagai pertanyaan diajukan kepada saya oleh sahabat-sahabat tentang isi kandungannya serta fakta-fakta yang saya perlu paparkan. Kerana menganggap tulisan seperti ini boleh mengancam keselamatan diri. Rasanya kalau saya diberi pilihan sama ada untuk terus menjadi seperti kambing dan lembu (hidup hanya untuk cari makan) atau mahu menjadi pembela “sesuatu”, saya tetap akan pilih pembela. Pembela kalau mati tetap ada harga diri dan mendapat nilaian di sisi-Nya. Walau bagaimanapun, sebagai warganegara Malaysia, saya meletakkan keselamatan negara sebagai keutamaan untuk dipertahankan.
.
Bagi saya pendedahan dalam buku ini tidaklah melibatkan keselamatan atau pun dianggap bahaya, sebaliknya memperjelaskan beberapa fakta kabur tentang Kesultanan Sulu serta tuntutan terhadap Sabah oleh para Sultan-sultan Sulu yang menyamar Sultan. Sudah tentu para penyamar ini didalangi oleh Filipina. Namun, dalam masa yang sama saya mengajak agar para pejuang bersenjata Moro menghentikan tentangan mereka terhadap Filipina. Kerana, hingga hari ini pun penentangan mereka masih juga tidak pernah menampakkan kejayaan melainkan kemusnahan masyarakat Moro bertambah teruk dengan menjadi pelarian dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Kemunduran dan kemelaratan semakin berleluasa.
.
Sebenarnya kunci keamanan di Sulu atau wilayah Moroland (Mindanao dan Sulu) hanyalah dengan meletakkan semula kuasa kesultanannya kembali berdaulat. Saya optimis bahawa hanya Sultan Sulu yang sah sahaja satu-satunya yang boleh dijadikan simbol keamanan dan perpaduan seterusnya layak menjadi “nakhoda” untuk membawa keluar “kapal” itu dari jeti Filipina. Sejak sekian lama kapal itu tertambat di jeti mereka tanpa penjagaan yang sewajarnya. Akhirnya karam dan para penumpangnya berenang ke kapal lain mencari perlindungan.
.
Sejak kemangkatan Sultan Jamalul Kiram-II pada 1936 tiada lagi sultan yang boleh diharapkan menjadi “nakhoda” kapal. Kerana kebanyakan individu yang mengangkat dirinya sebagai Sultan Sulu selepas itu tidak layak lagi jadi “nakhoda” ke-rana merekalah yang menyerahkan tali kapal mereka sendiri untuk diikat di jeti Filipina. Sejak itu pencarian rakyat Sulu terhadap Sultan mereka yang benar masih berterusan hingga ke hari ini. Kerana mereka tahu suatu hari nanti “nakhoda” yang benar pasti datang mengambil semula kapalnya dari jeti Filipina yang menyeksakan itu.
.
Semoga buku ini menjadi titik permulaan kearah tercetusnya pemahaman bahawa dengan mendaulatkan semula Kesultanan Sulu sahajalah yang boleh mengembalikan keamanan di Sulu dan Mindanao seterusnya dapat menyelesaikan masalah penghijrahan orang-orang Sulu ke Sabah. Akhir kata, segala maklumat yang baik didalam buku ini bolehlah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pembaca. Manakala yang kurang nilainya terutamanya yang menyentuh sensitiviti sesetengah pihak saya memohon jutaan kemaafan. Semoga Allah s.w.t mengampuni kita semua. Amin.
.
Sekian dan terima kasih.
.
ASREEMORO 2007


No comments:

Post a Comment