Saturday, January 31, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Pewaris Kedua

Mengenali Pewaris Kedua Keluarga Diraja Sulu
.
PERKATAAN Pewaris Raja Kedua (The second heir-apparent) iaitu panggilan Maharaja Adinda atau Arinda ini ada disebut oleh Prof. Cesar Adib Majul dalam bukunya Muslims in the Philippines mukasurat 393 dan dalam buku terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka "Islam di Filipina" oleh Shamsuddin Jaafar, pada mukasurat 486. Perkataan "Maharajah Adinda" tersebut juga ada ditulis oleh Pehin Dato' Dr. Mohd. Jamil Al-Sufri (Pengarah Pusat Sejarah Brunei) dalam bukunya Tarsilah Brunei II, iaitu pada lampiran 251, dan dalam buku "Ang Philipinas" -ARMM Edisyon, pada mukasurat 37. Selain itu, penulis Rita Turban dari Philippine juga ada menulis artikel tentang kewujudan keluarga Maharajah Adinda ini.
.
Kewujudan dua waris Kesultanan Sulu ini juga ada dilambangkan di dalam bendera Kesultanan Sulu. Di mana, Pewaris Pertama dilambangkan dengan lambang Keris Lurus. Dan Pewaris Kedua dilambangkan dengan lambang Tombak atau Bujak.
.
Kedua waris-waris ini adalah zuriat dari Sultan Badaruddin-I ibni Sultan Salahuddin-Karamat @ Pangeran Bakhtiar ibni Sultan Mawalil-Wasit @ Raja Bongsu-I, yang memerintah sekitar tahun 1718 sehingga 1732.
.
Putera Sultan Badaruddin-I yang sulung, (iaitu dari isteri pertamanya seorang gadis dari Soopeng @ Soppeng, Sulawesi), telah diberi nama Datu Lagasan. Setelah menaiki takhta Kesultanan Sulu, baginda menggunakan nama Sultan Azimuddin atau Sultan Alimuddin-I. Namun selepas Pembaptisan baginda oleh padri-padri Spanyol di Manila sekitar tahun 1750, baginda telah menggunakan nama Don Fernando de Alimuddin (The Christian Sultan of Jolo). Jika mengikut hukum undang-undang kerajaan kesultanan Islam, hak Sultan Azimuddin / Alimuddin @ Don Fernando de Alimuddin dan keturunannya ini telah termansuh lantaran Pembaptisan baginda itu ke agama kristian.[1]
.
Putera Sultan Badaruddin-I yang kedua, iaitu dari isteri keduanya (adalah merupakan seorang puteri dari Raja puak Tidung atau Tirun di Borneo), diberi nama sebagai Datu Bantilan. Semasa kekandanya Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I menjadi Sultan, beliau dilantik sebagai raja muda dan dipanggil sebagai Raja Muda Datu Bantilan.
.
Sengketa Bermula
Sekitar tahun 1748, telah berlaku perbalahan di antara dua bersaudara ini. Oleh kerana Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I telah memberikan kebenaran kepada para Jesuit dan Mubaligh Kristian Spanyol untuk menyebarkan doktrin agama Kristian di Sulu, maka perkara tersebut telah mendatangkan kemarahan kepada saudaranya Raja Muda Datu Bantilan. Dengan sokongan beberapa rakyat Sulu serta orang-orang yang setia kepada Raja Muda Datu Bantilan, mereka telah pergi bertemu Sultan Azimuddin-I. Dalam perbalahan itu, Raja Muda Datu Bantilan telah melontarkan tombak dan telah terkena kaki kekandanya Sultan Azimuddin-I (yang melontar ialah hulubalang Raja Muda Datu Bantilan dan ini diakui sendiri oleh Raja Muda Datu Bantilan @ Sultan Muezuddin itu kemudiannya).[2]
.
Bagi mengelakkkan perbalahan itu berpanjangan, akhirnya Sultan Azimuddin-I bersama putera dan puteri serta beberapa orang pengikutnya yang setia telah bertolak ke Zamboanga, dan kemudiannya ke Manila.
Di Manila, baginda dan rombongannya diberi sambutan dan layanan yang baik oleh para pegawai Spanyol dan para Jesuit[3] Kristian. Mungkin baginda tidak menyedari bahawa kebaikan yang diberikan oleh pihak Spanyol kepadanya adalah sebagai satu muslihat. Dengan kedudukan baginda sebagai Sultan Sulu, maka mereka bolehlah menyebarkan doktrin agama Kristian terhadap rakyat Sulu.
.
Datu Bantilan Menaiki Takhta
Semasa ketiadaan Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I di Sulu, beberapa ahli Majlis Diraja Sulu dan rakyat Sulu telah bersetuju melantik Raja Muda Datu Bantilan menaiki takhta Sulu dan menjadi Sultan Sulu dengan gelaran sebagai Sultan Bantilan Muizzuddin. Baginda memerintah dari tahun 1748 sehingga 1763.
.
Di masa zaman pemerintahan Sultan Bantilan Muizzuddin inilah sistem pemerintahan Kesultanan Sulu agak lebih teratur dengan ketersusunan para kabinetnya dengan jawatan yang mereka sandang. Mengikut rekod, Sultan Bantilan ini pernah melawat ke negara China untuk berjumpa dengan Maharajah China dan baginda adalah satu-satunya Sultan Sulu yang menghadiahkan secupak tanah dari Sulu sebagai kenangan dari kerajaan Kesultanan Sulu untuk Kerajaan Kayangan China.
.
Selepas pemerintahan Sultan Bantilan, takhta kesultanan Sulu diberikan kepada anandanya yang kemudian bergelar Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II. Baginda memerintah dari tahun 1763 sehingga 1764 buat kali pertama. Selepas itu takhta diberikan kepada Sultan Israil ibni Sultan Azimuddin-I, yang memerintah dari tahun 1764 sehingga 1768.
.
Pada tahun 1768 hingga 1789 Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II menaiki takhta Kesultanan Sulu semula untuk kali ke-2.
.
Pada zaman pemerintahan Sultan Azimuddin-III ibni Sultan Sharafuddin, putera Sultan Azimuddin-II yang bernama Datu Bantilan (seperti nama datuknya) telah dilantik menjadi Raja Muda Sulu dan dipanggil sebagai Raja Muda Datu Bantilan.
.
Selepas Sultan Azimuddin-III menduduki takhta Kesultanan Sulu selama 40 hari, baginda telah mangkat kerana tularan wabak penyakit cacar yang begitu menular pada masa itu. Ketika itu ramai datu-datu Sulu telah melarikan diri dari Sulu untuk mengelakkan dari dijangkiti penyakit tersebut. Khabarnya Raja Muda Datu Bantilan turut melarikan diri ke wilayah Borneo Utara (Sabah).
.
Setelah wabak reda, Raja Muda Bantilan kembali semula ke Sulu untuk menduduki takhta tersebut kerana beliau adalah Raja Muda sebelum itu. Malangnya takhta Sulu telah diduduki oleh saudara kepada Sultan Azimuddin-III yang menggelarkan dirinya sebagai Sultan Aliuddin. Inilah penyelewengan pertama oleh keluarga pewaris pertama ke atas sistem Protokol Diraja atau "Tartib Kesultanan Sulu".
.
Raja Muda Datu Bantilan cuba berusaha untuk merampas kembali takhta Sulu yang sepatutnya milik beliau. Maka pada tahun 1808, beliau bersama dengan 500 orang pengikutnya telah menyerang istana Sultan Aliuddin. Tetapi, beliau tidak berjaya kerana Sultan Aliuddin mempunyai sokongan yang kuat pada masa itu.
.
Sebelum kemangkatan Raja Muda Datu Bantilan pada tahun 1812, beliau telah mengamanahkan kepada putera sulungnya Datu Aranan atau Adanan untuk mengambil kembali takhta Kesultanan Sulu yang sepatutnya milik Pewaris Kedua. Dalam usaha beliau menuntut kembali takhta Sulu, Datu Aranan telah mendapat sokongan dari pihak British pada 1814, kerana beliau telah dianggap sultan oleh pihak British ketika itu. Sir John Hunt adalah merupakan seorang ejen British yang sering berurusan dengan Datu Aranan.
.
Aranan Puyo Menaiki Takhta
Namun hanya selepas pemerintahan Sultan Pulalun ibni Sultan Jamalul Kiram-I iaitu pada tahun 1862, barulah takhta Kesultanan Sulu diberikan secara mutlak kepada Datu Aranan. Baginda kemudiannya menaiki takhta dengan gelaran Maharajah Arinda/Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo. Malangnya kerana umur yang lanjut, selepas seminggu sahaja di atas takhta, baginda kemudiannya memberikan takhta Kesultanan Sulu kepada putera Sultan Pulalun yang bernama Datu Jamalul-A’zam @ A'lam. Lantaran tempoh masa menduduki takhta oleh Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/ Adanan Puyo ini adalah singkat dan tidak memenuhi protokol/Tartib (iaitu seorang Sultan Sulu sekurang-kurangnya menduduki takhta selama 40 hari, sepertimana Sultan Azimuddin-III pada tahun 1808), sebab itu nama baginda tidak disenaraikan di dalam "Salasilah Sulu".
.
Di masa perletakan takhta oleh Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo ini, takhta Sulu menjadi rebutan antara Datu Jamalul A’zam @ A'lam dan Datu Daniel (Ahli kabinet Majlis Diraja Sulu yang berjawatan sebagai Datu Amir Bahar). Namun, diatas kuasa dan pengaruh dan sokongan Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo pada masa itu, akhirnya takhta telah dapat diberikan kepada Datu Jamalul A’zam @ A'lam, yang menaiki takhta Kesultanan Sulu dengan menggelarkan diri sebagai Sultan Jamalul A’zam @ A'lam.
.
Tidak beberapa lama setelah menyerahkan takhta Kesultanan Sulu kepada Sultan Jamalul A’zam @ A'lam, Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/ Adanan Puyo ini telah berhijrah ke Pulau Siasi dan menetap di sana. Sehingga kini, makam baginda masih boleh dilihat bersama dengan makam kerabat-kerabat Keluarga Diraja Maharajah Adinda yang lain, di satu kawasan pemakaman yang dipanggil kawasan Pemakaman Keluarga Maharajah Adinda di Tanjung Siasi.
.
Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/ Adanan Puyo ini telah melahirkan beberapa orang putera dan puteri dari isteri pertama dan isteri ketiga baginda. Isteri kedua baginda tiada melahirkan zuriat. Putera-putera baginda adalah seperti, Datu Amirul, Datu Mohammad Sheikh/Seh/Sie dan Datu Laja. Dan puteri-puteri baginda adalah seperti, Dayang-Dayang Indung dan Dayang-Dayang Tabi-Tabi. Zuriat keturunan baginda ini telah beranak-pinak dan telah menetap di seluruh kawasan di Sabah dan di wilayah Sulu.[4]
.
Terlucutnya Hak Pewaris Pertama
Dari fakta dan kenyataan-kenyataan di atas, telah dapat dibuktikan bahawa Pewaris Kedua Kesultanan Sulu iaitu Keluarga Maharajah Adinda sememangnya wujud dan mempunyai hak ke atas Kesultanan Sulu sepertimana hak yang ada kepada Pewaris Pertama Kesultanan Sulu. Maka hak keturunan keluarga Maharajah Adinda tidaklah boleh dinafikan oleh sesiapa pun.
.
Dengan keterlucutan hak Pewaris Pertama Kesultanan Sulu samada pada masa Pembaptisan Sultan Azimuddin/ Alimuddin-I @ Don Fernando de Alimuddin pada tahun 1750, atau samada semasa pihak keluarga Kiram menandatangai Perjanjian Kiram-Bates Treaty pada 1899 dan Perjanjian Carpenter tahun 1915 ataupun semasa selepas kemangkatan Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936, iaitu dengan pengisytiharan oleh Presiden Manuel L.Quezon dalam Memorendum 20 hb September 1937, bahawa beliau tidak akan mengiktiraf lagi mana-mana Penyambung kepada Sultan Jamalul-Kiram-II. (perkara ini hanyalah melibatkan keluarga Pewaris Pertama. Keluarga Pewaris Kedua adalah tidak terlibat). Bolehlah dikatakan mereka telah kehilangan hak ke atas Kesultanan Sulu, kini hanya boleh diselamatkan atau dituntut kembali oleh Pewaris Kedua iaitu oleh Keluarga Maharajah Adinda sahaja seperti mana yang dimaksudkan dalam Protokol Kesultanan Sulu (Tartib Sulu) itu.[5]


Nota kaki:

[1] Islam di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 322-363 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988). Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I telah berjaya dibaptiskan dalam keadaan tergesa-gesa pada 28 April 1750 di gereja, Pangasingan, dan nama barunya ialah Fernando-I. Dalam sejarah kesultanan Sulu inilah satu-satunya Sultan yang yang dibaptiskan sebagai seorang Kristian yang menjadi kegembiraan Spanyol di Filipina. Malang bagi Spanyol kerana kegembiraan mereka tidak berpanjangan bila selepas beberapa tahun mereka telah mengetahui, sebenarnya hanyalah helah Sultan Azimuddin itu dibaptis agar mendapat bantuan ketenteraan demi mengukuhkan kekuasaannya di Sulu. Walaubagaimana pun baginda tetap Islam sehingga akhir hayatnya.
.
[2] Ibid, m.s. 358.
.
[3] Penyebar ajaran Kristian Katolik.
.
[4] Untuk melihat secara jelas sila lihat Salsilah Aranan susunan YM Datu Ali Aman.
.
[5] Sila lihat jadual kenaikan takhta (Tartib) kesultanan Sulu antara A, B dan C.

Tausug & Kesultanan Sulu - Kesultanan Sulu Termansuh?

Benarkah Sudah Termansuh?

RAMAI pihak berpendapat bahawa Kesultanan Sulu telah termansuh. Benarkah demikian? Kami mengajak para pembaca sama-sama meneliti dengan berkongsi beberapa fakta untuk mengenalpasti, adakah institusi Kesultanan Sulu itu telah termansuh atau sebaliknya.
.
Fakta jelas menunjukkan bahawa pihak Spanyol dan Amerika tidak pernah menjajah wilayah Kesultanan Sulu secara mutlak. Jika dirujuk kembali kepada beberapa catatan oleh para ahli sejarah dan catatan perjanjian-perjanjian, sememangnya tiada "Bukti" jelas yang boleh menyatakan secara "Mutlak" bahawa institusi Kesultanan Sulu telah berakhir atau termansuh. Berikut kami senaraikan beberapa fakta untuk dikongsi bersama para pembaca sekalian:
  • Merujuk kepada Perjanjian Paris Treaty di antara pihak Spanyol dan Amerika pada 1898 dalam Artikel III, dengan jelas menyatakan, bahawa wilayah yang perlu diserahkan oleh pihak Spanyol kepada pihak Amerika adalah dari wilayah Luzon sehingga wilayah Visayas sahaja. Ini telah membuktikan bahawa wilayah Mindanao dan Sulu adalah wilayah yang tidak termasuk dalam penyerahan itu. Maka wilayah Mindanao dan Sulu tetap berstatus sebagai wilayah yang merdeka.[1]
  • Rujukan dari buku tulisan Peter Gordon Gowing, dalam bukunya "Mandate in Moroland", mukasurat 348-349, dalam Perjanjian Kiram-Bates Treaty tahun 1899, iaitu pada Artikel III, bahawasanya - "Hak Sultan Sulu, Rakyat Sulu, Agama dan Tradisi mereka mestilah dihormati. Sultan masih dianggap sebagai Ketua Institusi Kesultanan Sulu terhadap rakyat Sulu". Terbukti tiada pernyataan akan "Pemansuhan" ke atas institusi Kesultanan Sulu itu di sini.[2] Dalam Perjanjian Carpenter 1915, dalam buku yang sama, iaitu pada mukasurat 352-353, kenyataan di dalam perjanjian itu adalah hanya sebagai Penghadan Kuasa Sultan Sulu (Limitation of powers), dan bukan pemansuhan institusi Kesultanan Sulu. Kerana dalam perjanjian itu dinyatakan juga, bahawa Sultan Sulu masih bertindak sebagai Ketua Negara, Ketua Agama dan masih berkuasa ke atas rakyatnya, rakyat Sulu.
  • Dari catatan Prof. Nicholas Tarling pula, dalam bukunya "Sulu And Sabah" pada mukasurat 328, yang merujuk kepada Memorendum 20hb September 1937, Presiden Manuel L.Quezon hanyalah bermaksud untuk "Tidak Mengiktiraf" (Non-Recognition) mana-mana penyambung kepada Sultan Jamalul-Kiram-II (Membawa maksud, akan tiada pengiktirafan kepada sesiapa pun penyambung dari Keluarga Kiram khasnya atau Keluarga Pewaris Pertama amnya. Keluarga Pewaris Kedua, tidaklah terlibat malah terkecuali di dalam perkara ini). Juga tiada pernyataan tentang pemansuhan ke atas institusi Kesultanan Sulu.

Pentadbir Dan Pelindung
Penguasaan pihak Amerika di Sulu dan Mindanao adalah selaku Pentadbir dan Pelindung (Administrator and Proctorate) sahaja. Sepertimana pihak British yang menjadi pentadbir dan pelindung kepada wilayah Borneo Utara selepas Perjanjian Pajakan.
.
Juga dengan termeterainya Perjanjian Pajakan Wilayah Borneo Utara pada tahun 1878, tidak membawa maksud akan terjadinya 'Pemansuhan' institusi Kesultanan Sulu. Ini kerana, kesahan (Validation) ke atas perjanjian itu akan terus berlaku selagi pihak Kesultanan Sulu yang bertindak sebagai tuan punya tanah (Dinyatakan sebagai pewaris dan penyambung kepada Kesultanan Sulu ) terus wujud bersama dengan pihak yang menyewa (Syarikat British) keatas wilayah Borneo Utara tersebut.
.
Jika dikatakan bahawa institusi Kesultanan Sulu itu telah termansuh, maka secara otomatiknya, tiadalah pula wujud perjanjian pajakan itu. Maka, perjanjian itu pula bolehlah dianggap terbatal. Ini membawa maksud, "Tiada Kesultanan Sulu maka tiada Perjanjian Pajakan, tiada Pembayaran Sewaan tentunya tiada apa-apa lagi penguasaan oleh pihak lain ke atas wilayah Borneo Utara. Maka wilayah itu perlu dikembalikan kepada pemilik asalnya iaitu Sultan Sulu".
.
Merujuk kepada buku tulisan Mohd. Ariff Bin Dato Hj. Othman dalam bukunya Tuntutan Filipina terhadap Sabah - Implikasi dari segi sejarah, Undang-undang dan Politik, iaitu pada mukasurat 52-53,[3]
.
“Bagaimanapun dengan menandatangani suatu perjanjian yang berasingan dengan krajaan British tanpa salah seorang daripada Sultan itu sebagai satu pihak, Syarikat (BNBC) ini nampaknya telah bertindak di luar syarat (Ultra vires) konsesi yang asal. Jadi perjanjian tersebut boleh dianggap sebagai “Void ab initio” (Terbatal sejak mula).”
.
Beberapa Perjanjian dan Konvensyen Sempadan yang ditandatangani oleh pihak United Kingdom, Belanda dan pihak Amerika pada tahun 1898, 1915 dan 1930 adalah sebagai perjanjian lingkungan pengaruh mereka ke atas wilayah-wilayah tertentu dalam melakukan urusan perdagangan, dan bukan sebagai perjanjian penguasaan penjajahan. Semua perjanjian dan konvensyen itu tiada satu pun yang boleh dirujuk sebagai sebarang penyataan untuk "Memansuhkan" institusi Kesultanan Sulu.
.
Maka, jelaslah semua fakta di atas telah dapat menerangkan dengan sejelas-jelasnya bahawa, institusi Kesultanan Sulu tidaklah pernah sama sekali "Termansuh". Maka status wilayah Kesultanan Sulu sememangnya sehingga kini adalah tetap berstatus "Merdeka dan Berdaulat". Penguasaan Kerajaan Filipina ke atas wilayah Sulu dan Mindanao sehingga kini adalah tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa.
.
Maka bagaimanakah kita sebagai orang yang memahami perkara ini menyatakan bahawa Kesultanan Sulu telah termansuh lantaran itu kita bersetuju pula melabelkan rakyat Sulu keseluruhannya sebagai rakyat Filipina?

Nota kaki:

[1] "Spanyol tidaklah berjaya menakluk atau menundukkan orang-orang yang mereka gelar Moro itu, sesungguhnya mereka (Moro) adalah orang-orang yang merdeka" Ruj: New Encyclopedia Britannica Voll. II, Copyright 1989, p. 381.

[2] Inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Datu Emmanuel D. Mangubat "….Since Sulu Archipelago until today that is owned the Royal Sultanate of Sulu and North Borneo remains an independent and sovereign state because this ancient kingdom was not abolished by any law of treaty, and their sultan did not abdicate their throne,…" Ruj: Zamboanga Today, Thursday, June 22, 2006, m.s. 11 (Bato-Bato Sa Langit).

[3] Mohd Ariff Bin Dato' Hj Othman (bekas Hakim Mahkamah Tinggi di Jabatan Peguam Negara Kuala Lumpur), tajuk bukunya seperti yang kami sebutkan di atas telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1988.

Thursday, January 29, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Pewarisan

Lambang Senjata Sebagai Bukti

BERIKUT adalah penjelasan tentang kenaikan takhta Kesultanan Sulu yang penulis himpunkan berdasarkan kenyataan dari keluarga Maharaja Adinda Aranan:
.
Untuk mengenali "Keluarga Diraja Sulu" perlu dilihat dahulu "Lambang Senjata" dalam Bendera Kesultanan Sulu itu. Pernahkah anda melihat bendera Kesultanan Sulu? Dalam Bendera Kesultanan Sulu ada lambang keris (Melambangkan Keluarga Kiram) dan lambang barung (Melambangkan Keluarga Shakiraullah). Keris dan Barung ini diletakkan "Bersilang", kerana keluarga ini adalah keluarga yang dipanggil "Pewaris Pertama" (The first heir-apparents) keturunan dari (Abang), Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I Ibni Sultan Badaruddin-I (Dari isteri Pertama Sultan Badaruddin-I, Gadis dari Soopeng, Sulawesi).
.
Dalam bendera itu juga ada lambang "Bujak/Tombak", sebagai lambang Keluarga Maharaja Adinda yang juga dikenali sebagai "Keluarga Pewaris Kedua" keturunan dari (Adik), Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Sultan Badaruddin-I (Dari isteri Kedua Sultan Badaruddin-I, Gadis Tidung dari Borneo).[1]
.
Pernahkah orang bertanya, mengapa Kesultanan Sulu ada "Pewaris Kedua"? Pernahkah orang berfikir, mengapa dalam permainan bola sepak ada pemain kedua atau pemain simpanan? Fungsinya lebih kurang sama, Kesultanan Sulu mewujudkan Pewaris Kedua sebagai "Penyelamat dan Penyambung" kepada Kesultanan Sulu, sekiranya hak Kesultanan Sulu berakhir di tangan Pewaris Pertama.
.
Ini bermakna, walaupun ada yang menganggap Kesultanan Sulu telah berakhir atau termansuh kerana beberapa perjanjian yang dibuat oleh Keluarga Kiram (Pewaris Pertama) yang telah dianggap menjual negara, namun hak Kesultanan Sulu itu sebenarnya tidak akan termansuh, kerana pewaris kedua masih wujud dan juga masih mempunyai hak mutlak ke atas Wilayah Kesultanan Sulu (Ini adalah fakta yang mesti difahami).
.
Dalam soal kenaikan takhta Sulu, Buku Protokol atau Tartib Kesultanan Sulu perlu dirujuk semula (Kitab Tartib). Dalam protokol atau Tartib Kesultanan Sulu, di-nyatakan, Sultan Sulu itu tidak semesti menurunkan takhtanya kepada anak atau pu- teranya. Sistem Kesultanan Sulu adalah berlainan dengan Sistem Kesultanan Brunei (walaupun kedua-dua Kesultanan ini adalah bersaudara).[2]
.
Ada empat huraian yang dinyatakan dalam urusan kenaikan ke atas takhta untuk menjadi Sultan Sulu. Seperti yang dihuraikan oleh Prof. Cesar Adib Majul dalam buku-nya (Islam Di Filipina) sebagai kitaran penggiliran takhta diantara 3 Keluarga Diraja Sulu, yang beliau tandakan sebagai A, B dan C. (Inilah yang kita fahami sebagai Keluarga Kiram, Shakiraullah & Aranan).[3]
.
Perlulah difahami bahawa, tidak dibolehkan selamanya takhta Kesultanan Sulu hanya dikuasai dan dimonopoli oleh Keluarga Kiram dan Shakiraullah (Pewaris Pertama). Sepertimana apa yang mereka lakukan dari 1862 sehingga kini iaitu meminggirkan pewaris kedua (Keluarga Maharajah Adinda) seolah-olah tiada hak ke atas Takhta Sulu?[4] Pernahkah orang bertanya, "Keluarga siapakah yang telah menyebabkan Kesultanan Sulu Musnah (dianggap termansuh)?" Jawapannya, semua angkara Pewaris Raja Pertama.
.
Kini, sesuai dengan fungsinya, Pewaris Raja Kedua akan menuntut haknya yang tentunya akan menyelamat, menghidupkan kembali serta menyambung semula warisan Kesultanan Sulu, sebagai Kesultanan Sulu yang baru. Kerana Kesultanan Sulu yang lama telah berakhir di tangan pewaris pertama setelah kemangkatan Sultan Jamalul Kiram-II pada 1936. Baginda tidak mempunyai anak (rujuk rekod PAWCI dari CA-USA dan kenyataan dari Prof. Nicholas Tarling dalam bukunya Sulu and Sabah). Semenjak dari tahun 1862 sehingga 1936, takhta Sulu hanya dimonopoli oleh Keluarga Pewaris Pertama. Sekiranya merujuk kepada kenyataan Presiden Pertama Filipina, L.Quezon, yang mana beliau tidak bermaksud memansuhkan Kesultanan Sulu akan tetapi beliau tidak mahu mengiktiraf sesiapa pun sebagai penyambung kepada Sultan Jamalul-Kiram-II (Iaitu Penyambung dari semua Keluarga Kiram atau Keluarga Pewaris Pertama). Ini bermakna, pewaris kedua adalah terkecuali.
.
Pewaris Dan Penyambung
Pernahkah orang bertanya, mengapa dalam dokumen "Pajakan Borneo Utara" pada 1878, perkataan pewaris dan penyambung (The Heirs and Successors) 4 kali diguna-pakai dalam perjanjian tersebut? Mengapa pula tidak menggunakan perkataan pewaris atau penyambung (The Heirs or Successors)? (Perkara ini telah ditimbulkan oleh Prof. Nicholas Tarling dalam bukunya, Sulu and Sabah). Jawapannya, kerana Sultan Jamalul A’zam serta kabinetnya mahu menghadkan sebarang tuntutan hak ke atas Borneo Utara pada masa hadapan. Tentunya Baginda mahu hanya Keluarga Diraja Sulu yang berkelayakan sahaja iaitu yang berhak penuh untuk menuntut Borneo Utara. Maka Keluarga Diraja Sulu yang dimaksudkan itu mestilah memenuhi kehendak perkataan sebagai pewaris dan dalam masa yang sama berhak menjadi penyambung kepada Kesultanan Sulu, mengikut Tartib atau Protokol Kesultanan Sulu.
.
Perlu diingat, Sultan Jamalul A’zam telah dapat menaiki takhta Kesultanan Sulu adalah di atas sokongan dari "Datuk Saudaranya" Maharaja Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo ibni Paduka Raja Muda Datu Bantilan ibni Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II ibni Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Sultan Badaruddin-I, telah dengan rela hati menurunkan dirinya dari takhta Sulu selepas menduduki takhta selama seminggu sahaja. Ketika itu, takhta Sulu juga disaingi oleh Datu Amir Bahar (Datu Daniel). Namun dengan sokongan dan pengaruh yang kuat dari Sultan Aranan/Adanan Puyo, Sultan Jamalul A’zam berjaya menduduki takhta Kesultanan Sulu akhirnya.
.
Prof. Cesar telah menjelaskan:
"Pada bulan September 1862, Sultan Pulalun mangkat. Takhta beliau telah diberikan kepada ayahanda saudara beliau, Datu Aranan, yang ketika mudanya memang bercita-cita untuk mendapatkan takhta itu. Bagaimanapun, beliau menolak kesultanan itu dengan alasan bahawa beliau terlalu tua dan tidak kaya. Yang demikian takhta itu telah diserahkan kepada Jamalul Azam, seorang putera Sultan Pulalun…….Datu Daniel berhasrat supaya menantu lelaki beliau Datu Jamalul Kiram, cucunda kepada Sultan Shakirullah menjadi sultan. Tetapi campur tangan Datu Aranan dalam perkara itu di samping keengganan pihak Spanyol menunjukkan sebarang simpati terhadap perjuangan Datu Daniel menyebabkan sebahagian besar datu-datu mengisytiharkan Jamalul Azam sebagai Sultan".[5]
.
Mungkin, sebagai ingin membalas jasa baik Datuk Saudaranya (Sultan Aranan/Adanan Puyo) itu, Sultan Jamalul A’zam sememangnya berkehendak agar dimasa hadapan Keluarga Maharaja Adinda (Pewaris Kedua) saja yang akan 'berkelayakan" menuntut hak ke atas Borneo Utara, sekiranya hak pewaris pertama termansuh.
.
Penyelesaian
Memandangkan hak pewaris pertama telah dianggap termansuh semenjak daripada kemangkatan Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936, maka hak warisan kesultanan Sulu beralih secara mengikut "Tartib atau Protokol" diberi kepada keluarga pewaris kedua (Keluarga Maharaja Adinda). Kerana keluarga ini adalah pewaris Kesultanan Sulu yang sah dan dalam masa yang sama berkelayakan menjadi penyambung kepada Kesultanan Sulu.
.
Ini bersesuaian dengan perkataan yang diguna-pakai dalam perjanjian "Pajakan" Borneo Utara pada 1878, Perkataan pewaris dan penyambung (The Heirs and Successors). Maka, "9-Waris" yang menuntut hak warisan dari Kerajaan British berkenaan bayaran sewaan tahunan Borneo Utara pada 1936-1939 yang diketuai oleh Hjh Dayang-dayang Piandao serta 8 yang lain adalah tidak berkelayakan.
.
Ini kerana, 7 Orang dari mereka itu adalah perempuan. Dalam Kesultanan Sulu, mereka ini mungkin boleh diterima sebagai pewaris (The Heirs), tapi mereka ini tidak boleh jadi penyambung (The Successors) kepada Kesultanan Sulu, kerana mereka adalah "Perempuan". Dua orang lagi adalah Sultan Esmail-Kiram-I dan Datu Punjungan-Kiram, juga mungkin hanya boleh diterima sebagai pewaris (The Heirs) tapi tidak boleh menjadi penyambung (The Successors), kerana hak Keluarga Pewaris Pertama telah berakhir dengan kewafatan Sultan Jamalul-Kiram-II yang tiada anak (mandul), serta sekian lamanya takhta dimonopoli oleh keluarga Pewaris Pertama.
.
Maka sekiranya mengikut Protokol atau tartib Kesultanan Sulu, Takhta beralih dan menjadi hak keluarga Pewaris Kedua (Maharaja Adinda). Inilah fakta sebenar yang mesti difahami.
.
Protokol atau Tartib Kesultanan Sulu ini perlu diikuti kerana tiada wujud kesultanan yang tiada Protokol di mana-mana pun dalam dunia ini. Bermakna semenjak dari 1936, takhta Kesultanan Sulu sepatutnya menjadi milik Keluarga Maharaja Adinda yang merupakan pewaris dan penyambung (The Heirs and Succesors) kepada Kesultanan Sulu.
.
Namun sayangnya, semenjak dari 1936 tiada seorang pun dari Keluarga Maharaja Adinda yang tampil membuat tuntutan hak ke atas Kesultanan Sulu, kerana masalah "Buta huruf dan Kemiskinan". Maka sesuatu perlu dilakukan iaitu bermula tahun 2004, Keluarga Maharaja Adinda telah tampil untuk membuat tuntutan haknya dengan mewujudkan Majlis Diraja Sulu "Rumah Bicara" di Sulu dan sekarang tengah berusaha mendapatkan sokongan dan keyakinan dari rakyat Sulu dengan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan setakat yang termampu.
.
Para Penuntut Takhta
Hak pewaris pertama sama ada Kiram atau Shakiraullah telah berakhir semenjak kewafatan Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936.
.
Maka, tuntutan-tuntutan dari Raja Muda Mawallil-Wasit-II, Sultan Esmail-Kiram-I, Sultan Mahakutta-Kiram & Raja Muda Muedzul-Lail, Sultan Akidjal Pulalon, Sultan Ibrahim Pulalun, Sultan Pitico, Paramount Sultan Ibrahim Bahjin mahupun Sultan Mohd Fuad Kiram adalah tidak bermakna lagi. Sultan Jamalul-Kiram-III dan Sultan Esmail-Kiram-II ibni Sultan Punjunggan-Kiram bin (Imam) Amir Hamzah, adalah bukan berasal dari darah Keturunan Sultan Sulu. Kerana Datu Punjungan-Kiram itu adalah anak kepada Puan Mora Napsa Laga [6] dengan suami pertamanya, (Imam) Amir Hamzah. Datu Punjungan-Kiram juga bukanlah dari zuriat Raja Muda Mawallil-Wasit-II. Sultan Julaspi-Kiram dan anaknya Sultan Roodinood juga tiada hak menuntut ke atas Kesultanan Sulu. Kerana mereka ini hanyalah menyamar dan tiada kaitan darah dengan Kesultanan Sulu. (Lihat senarai Salsilah Kesultanan Sulu oleh YM Datu Ali Aman yang menyatakan Julaspi Kiram itu adalah anak angkat kepada Sultan Jamalul Kiram-II sahaja).
Perlulah kami tegaskan di sini bahawa, "Waris Sebenar Kesultanan Sulu" yang benar-benar berkelayakan ke atas Takhta Sulu adalah dari Keluarga Maharaja Adinda, iaitu "Cucunda" kepada Maharaja Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo sendiri:
.
YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila ibni YM Datu Mohammad Sheikh/Sie/Seh ibni Almarhum Maharajah Adinda @ Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo ibni YM Datu Paduka Raja Muda Datu Bantilan ibni Almarhum Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II ibni Almarhum Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Almarhum Sultan Badaruddin-I ibni Almarhum Sultan Salahuddin-Karamat ibni Almarhum Sultan Mawalil-Wasit @ Raja Bongsu-I ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan (Sultan Brunei ke-9).
.
YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila inilah satu-satunya yang menyerahkan Pulau Janggi ke Muzium Brunei pada 1978. (Pulau Janggi @ Sepoh Janggi adalah merupakan Lambang Diraja Kesultanan Sulu, yang menjelaskan bahawa darah pewaris Kesultanan Sulu bermula dari Sultan Mawallil-Wasit @ Raja Bongsu-I, adalah dari darah Sultan Brunei, Sultan Muhammad Hassan dari sebelah Ayahandanya dan dari sebelah Ibundanya pula, adalah Puteri Sulu, puteri kepada Sultan Pangeran Buddiman Ul-Halim terus ke darah Sultan Shariful-Hashim). Perkara ini telah pun disahkan benar oleh pihak Muzium Brunei.
.
Terdapat orang perseorangan seperti Sultan Aidal M.Aliuddin, yang mendakwa mempunyai Pulau Janggi Kesultanan Sulu sebenarnya adalah satu penipuan semata-mata. Kerana semenjak dari 1978, Pulau Janggi Kesultanan Sulu yang merupakan satu-satunya milik Kesultanan Sulu, sehingga kini masih berada dalam jagaan pihak Muzium Brunei.
"Pulau Janggi @ Sepoh Janggi (Coco de Mer) ini hanya diamanahkan kepada Keluarga Maharaja Adinda, bukan kepada Keluarga Kiram atau Shakiraullah".
.
Ini bertujuan sebagai bukti akan kesahihan hak pewaris kedua sebagai pewaris dan penyambung kepada Kesultanan Sulu (The Heirs and Successors). Juga merupakan pewaris yang sememangnya berkelayakan sepenuhnya untuk menuntut hak ke atas Wilayah dan Harta Milik Kesultanan Sulu.
.
Jika disusun mengikut susunan generasi, oleh kerana Maharaja Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo adalah merupakan Bapa Saudara atau Pakcik kepada Sultan Pulalun @ Mohd Fadl, maka YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila ini adalah berpangkat moyang kepada semua penuntut takhta samada dari Keluarga Kiram atau Shakiraullah. Maka dalam hal ini, keutamaan dan penghormatan untuk menduduki takhta Kesultanan Sulu harus diberikan kepada YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila.
.
Demikianlah kenyataan dan fakta yang dikemukakan oleh keluarga Maharaja Adinda Aranan.

Kesimpulan
Melihat dari kenyataan akhir di atas iaitu, "Maka dalam hal ini, keutamaan dan penghormatan untuk menduduki takhta Kesultanan Sulu Harus diberikan kepada YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila” adalah setakat cadangan yang kami lihat sebagai munasabah sekiranya mengikut susunan generasi. Istilah "Harus" kami gunakan untuk memudahkan tafsiran bahawa tidak semestinya hanya YM Datu Aliuddin Haddis Pabila sahaja dari Keluarga Maharaja Adinda Aranan yang yang layak menaiki takhta walhal hanya Rumah Bicara sahaja yang boleh memutuskan kelayakan tersebut. Kerana Keluarga Maharaja Adinda Aranan terlalu ramai yang mungkin sesiapa sahaja dari mereka (Keluarga Maharaja Adinda) akan meminta Rumah Bicara memilih mereka sebagai Sultan Sulu.
.
Walau bagaimanapun sebagai Majlis Diraja Sulu Rumah Bicara tentunya akan memilih Sultan Sulu dari kalangan Keluarga Maharaja Adinda itu dengan adil berdasarkan ketokohan dan kebijaksanaan serta pertimbangan dari susunan generasi sebagai salah satu keutamaan. Maka keutamaan tersebut berkemungkinan besar akan jatuh kepada YM Datu Aliuddin Haddis Pabila.
Keseluruhan dari kenyataan kami di atas membuktikan keadaan sebenar kewujudan Kesultanan Sulu tersebut adalah berpandukan Tartib atau Protokol Diraja Sulu yang mana para pendakwa atau penyamar Sultan Sulu hari ini tidak mengetahuinya. Malah Bendera Sulu yang asal itu pun mereka tidak gunakan sebagai bendera kesultanan mereka. Ini membuktikan kejahilan sejarah oleh penyamar Sultan-sultan Sulu itu. Walau bagaimanapun untuk berlaku adil kepada keluarga Kiram dan Shakiraullah, kami membuat kesimpulan bahawa ketidakfahaman para Sultan-sultan Sulu yang ada pada hari ini terhadap Tartib Diraja Sulu itu berkemungkinan adalah disebabkan oleh beberapa kenyataan seperti berikut:
.
Mereka (sekiranya benar waris Kesultanan Sulu dari Kiram & Shakiraullah) kekurangan maklumat tentang Kesultanan Sulu kerana kebanyakan yang naik menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu hari ini telah terputus perhubungan dengan kerabat Diraja Sulu yang arif tentang sejarah kesultanan. Sekiranya tidak ada pengetahuan tentang Tartib Diraja Sulu, maka pengetahuan-pengtahuan lain yang melibatkan pengetahuan perundangan mahupun adat (Protokol) para datu-datu turut tidak diketahui.
.
Peperangan era moden (menentang tentera Amerika, Jepun serta Filipina) yang melanda Sulu telah menyebabkan institusi Kesultanan Sulu porak peranda dan seolah-olah telah hilang ditelan oleh perang moden itu (kerana rakyat bertaburan jadi pelarian). Maka maklumat tentang Tartib Diraja Sulu semakin sukar didapati terutama bagi mereka yang malas mengkaji dan mencari sejarah kesultanan sudah tentu keadaan akan lebih sukar. Sebab itu bermunculanlah datu-datu yang menabal diri jadi sultan dengan hanya berpandukan cerita keluarga (yang juga tidak arif tentang Tartib) bahawa sebenarnya mereka adalah keluarga waris Kesultanan Sulu dan tentunya (bagi mereka) layak diangkat sebagai Sultan Sulu begitu sahaja.
.
Sebenarnya mereka mengetahui tentang Tartib Diraja Sulu tersebut malah maklum dengan kewujudan Waris Raja Kedua, tetapi oleh kerana mereka tidak menemui atau pun terputus hubungan dengan keluarga Kesultanan yang lain maka dianggap sahaja Waris Raja Kedua itu telah pupus.
.
Jelaslah pada kita, bahawa Kesultanan Sulu itu adalah terdiri dari 3 warisan. Kerana selama ini kita mengetahui, hanya Kiram (lambang Keris) dan Shakiraullah (lambang Barung) sahaja yang layak diangkat menjadi sultan tanpa mengetahui kewujudan satu lagi waris (lambang Tombak atau Bujak) yang juga punya hak ke atas takta Kesultanan Sulu.
.
Sebelum mengakhiri bab Kesultanan Sulu ini, kami dengan harapan yang tinggi meminta para waris kerabat Diraja Sulu samada dari Kiram, Shakiraullah mahupun Aranan bersatu dan berkerjasama untuk meletak semula Kedaulatan Kesultanan Sulu di Sulu. Letakkan semula Kesultanan Sulu di tempatnya seperti sediakala dengan slogan "La ilaha illallah, Muhammadurrasulullah" kerana dengan slogan inilah para Sultan-sultan yang awal dulu mendapat bantuan Allah s.w.t sehingga bertahan selama hampir 400 tahun tanpa terkalah. Walau bagaimanapun setakat slogan sahaja tidaklah cukup melainkan setelah para kerabat Kesultanan Sulu dan rakyatnya beramal dengan ajaran Islam dengan meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan bernegara, mengasihi dan senantiasa mendampingi para ulamak sebagai penunjuk jalan dunia akhirat.
.
Kami ingin mengingatkan saudara-saudara kami orang-orang Islam Sulu dan waris-waris Kiram serta Shakiraullah melihat hujah kami di dalam buku ini, kerana kami bukannya bertujuan menghina mana-mana pihak melainkan memberi pemahaman tentang kedudukan Kesultanan Sulu dan hak-hak kepada yang berhak berdasarkan bukti-bukti sejarah seperti yang anda semua lihat. Kami bersedia diajak berbincang di mana sahaja demi kebenaran dan maslahat umat Islam Sulu keseluruhannya kerana "Kami tidak kisah sesiapa sahaja yang ditabal jadi Sultan Sulu". Akan tetapi perlulah kami mendengar hujah dan bukti yang cukup dari kalian terlebih dahulu. Itu sahaja.
.
Kami sudah tidak tahan dengan individu-individu yang mengaku Sultan Sulu yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Mereka hanya pandai mengambil kesempatan dari orang-orang Sulu yang sememangnya sudah pun hidup melarat dan menderita. Inilah yang kami tidak mahu, kerana perkara ini boleh menyebabkan Institusi Kesultanan Sulu dipandang serong dan hina oleh orang-orang Sulu sendiri apatah lagi orang-orang luar.

Nota kaki:

[1] Carta Kesultanan Sulu, YM datu Ali Aman @ Raja Bongsu II.
.
[2] Rujuk: Tarsilah Brunei I & II, Pehin Prof. Mohd Jamil Al-Sufri. Rujuk: Ibid.
.
[3] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 493.
.
[4] Walaubagaimana pun, perlu juga diakui bahawa bukannya setiap keadaan Waris Pertama (Kesultanan) itu meminggirkan Waris Kedua (Kesultanan) sebab sekiranya kita melihat sejarah dua warisan kesultanan Sulu ini sebenarnya sangat berkasih sayang sesama mereka sebagaimana kasih sayang yang ditunjukkan oleh Sultan Mohd Fadl Pulalun (Kiram) dengan menyerahkan takhta Sultan Sulu kepada ayahanda saudaranya iaitu Datu Aranan (Waris Raja Kedua). Selama seminggu pula Datu Aranan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Muhammad Aranan Puyo setelah itu menyerahkan semula takhtanya kepada cucu saudaranya iaitu Sultan Jamalul Azam ibni Sultan Mohd Fadl Pulalun (Kiram). Tolak ansur Datu Aranan itu menunjukkan kasih sayang sesama keluarga diraja Sulu ketika itu. Ini juga menunjukkan pada kita bahawasanya Waris Raja Kedua itu sememangnya bertugas sebagai "penyelamat" institusi Kesultanan Sulu selagi mana Waris Raja Pertama memahami kedudukan mereka. Malangnya hari ini bukan sahaja Waris Raja Kedua itu tidak difahami malah terus dianggap "telah pupus". Sebab itu munculnya keluarga Waris Raja Kedua hari ini adalah sebagai "penyelamat" institusi Kesultanan Sulu sekali lagi.
.
[5] Prof. Cesar, Op. Cit. m.s. 421.
.
[6] Puan Mora Napsa Laga @ Lagayan adalah seorang wanita jelita yang pandai "mangalai" (Tarian kebudayaan Tausug) adalah isteri kepada Amir Hamzah (seorang imam kampung). Kejelitaan Napsa Lagayan ini menyebabkan Sultan Mawallil Wasit ibni Sultan Jamalul Azam @ A'lam terpikat dan berusaha bagaimana mendapatkan Napsa Lagayan sebagai isterinya. Ketika Amir Hamzah (suami Napsa Lagayan) pergi berniaga ke Sandakan, Borneo Utara, Sultan mengadakan majlis di Istananya dengan menitahkan Napsa Lagayan menari dalam majlis tersebut. Malangnya Napsa Lagayan telah tidak dibenarkan kembali kerumahnya dan dikurung dalam bilik istana. Walhal ketika ini beliau telahpun hamil tentunya anak Amir Hamzah. Bila Amir Hamzah kembali dari Sandakan dengan membawa perhiasan untuk dihadiahkan kepada isteri jelitanya yang tersayang itu didapati isterinya telah ghaib (nampaknya orang-orang kampung turut bersubahat menyembunyikan cerita sebenar malah menipu Amir Hamzah yang isterinya telah dimakan buaya). Amir Hamzah dengan nekad terjun kesungai (lubuk buaya) semata-mata mencari isterinya tapi akhirnya beliau mengetahui isteri kesayangannya itu sebenarnya telah diculik Sultan. Cerita Amir Hamzah dengan Napsa Lagayan ini adalah cerita yang sangat menarik dan terkenal dikalangan masyarakat Tausug hingga ke hari ini kerana telah dijadikan lagu tradisi (Lughoh) dan masih boleh didengar dalam majlis-majlis keramaian (majlis kahwin)

Monday, January 26, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Perang Moro Dalam Sejarah

Perang Moro Dalam Sejarah Awal Filipina

PHILIPINES atau Filipina sebagaimana juga negara-negara di sekitar Nusantara punya pra-sejarah yang sama. Manusia Negrito adalah penghuni awal, kemudian Melayu-Proto adalah yang menghuni kepualauan Filipina setelah itu. Masyarakat Negrito dipercayai telah menghuni kepulauan Filipina sejak 30,000 tahun yang lampau semenjak Zaman Ais lagi.
.
Pada 1500-an, Islam telah pun berada di Pulau Luzon. Para pedagang Arab-Islam dipercayai adalah pembawa Agama Islam di seluruh kepulauan Filipina. Pada 1565 telah wujud Bandar Amanillah (Mendapat keamanan Allah) yang dikenali Manila pada hari ini.
.
Sejarah telah membuktikan pada kita, Raja Sulaiman (Kerabat Kesultanan Brunei) adalah yang berkuasa di situ sekurang-kurangya sebelum kedatangan Spanyol sekitar 1600.
.
Sistem masyarakat ditadbir secara Islam dengan para Datu yang mengetuai setiap kawasan Barangay. Tentunya bahasa Melayu adalah sebahagian bahasa pertuturan di Manila di sebabkan kesultanannya adalah dari kerabat Kesultanan Brunei yang sememangnya adalah orang Melayu. Manakala di bahagian selatan ketika itu, Mindanao dan kepuluan Sulu juga menerima kedatangan Islam lebih awal. Sebahagian ahli sejarah percaya Islam telah pun sampai di selatan Filipina pada 1380–1400an di sana berdasarkan pada bukti-bukti berupa kubur-kubur dan sebagainya.
.
Pada 16 Mac 1521, penjelajah terkenal Spanyol, Ferdinand Magellan (1480-1521) telah mendarat di Cebu ketika dalam misinya mengelilingi dunia di samping mencari tanah jajahan. Tanah Pulau Cebu telah dimasukkan sebagai wilayah baru hak milik Raja Charles 1 di Spanyol. Sebulan kemudian Ferdinand Magellan telah dibunuh dalam satu pertempuran tepi pantai Maktan oleh seorang panglima Islam. Peristiwa pembunuhan Ferdinand Magellan ini adalah yang paling bersejarah di Filipina hingga ke hari ini sehingga didirikan tugu peringatan si pembunuhnya iaitu panglima “Lapu-lapu” di Bandar Maktan, Cebu.
.
Pada 1565, Miguel Lopez De Legazpi seorang Gabenor Diraja telah sampai ke Pulau Cebu dari New Spain (Maxico). Enam tahun kemudian setelah berjaya melumpuhkan sistem pentadbiran Islam di tangan para Datu, beliau telah ke Manila dan mendirikan pelabuhan komersil di bandar utama Manila sebagai pusat pentadbiran ketenteraan dan keagamaan. Maka di sinilah bermula nama Filipina (Philipines) sempena nama Raja Philip II di Spanyol yang memerintah pada 1556 hingga 1598. Maka bermulalah penjajahan ke atas Filipina sehingga lebih 300 tahun lamanya di tangan Spanyol dan kita akan dapat saksikan sejarah telah mencatatkan keganasan demi keganasan ke atas masyarakat Filipina terutamanya masyarakat Islam sehingga ke hari ini. Sebaliknya yang dituduh pengganas adalah masyarakat Islam sendiri yang berjuang menentang penceroboh.
.
Matlamat Penjajah Spanyol
Matlamat penjajahan Spanyol di Filipina sebenarnya adalah kerana 3 sebab:-
1. Menguasai kawasan dan laluan rempah.
2. Membina persefahaman dengan Dinasty China dan Jepun.
3. Mengkristiankan Masyarakat Filipina keseluruhannya.
.
Matlamat pertama dan kedua telahpun berjaya dengan cemerlang, cuma matlamat yang ketiga mereka gagal melaksanakannya hingga ke hari ini. Kerana penentang utamanya adalah masyarakat Islam sendiri yang sukar ditewas dan ditundukkan kerana punya senjata yang menggerunkan pihak spanyol sendiri iaitu senjata “Jihad Fi Sabilillah” yang dikenali oleh Spanyol sebagai “Juramentado” (Berani Mati). Sejarah juga telah memberitahu kita, hanya bahagian selatan Filipina sahaja yang tidak pernah mereka masuki dan tadbir secara menyeluruh disebabkan tentangan sengit masyarakat Islam yang diketuai oleh Sultan-sultan Maguindanao dan Sultan-sultan Sulu serta Datu-datu nya .
.
Perlu juga diakui bahawasanya Spanyol dan misi Kristianisasinya telah berjaya di bahagian utara Filipina. Bukti kejayaan mereka ialah hingga ke hari ini majoriti penduduk dari tengah Filipina hingga ke utara adalah Kristian. Manakala dari utara Mindanao hingga ke Kepulauan Sulu majoritinya muslim. Kita melihat betapa misi pengkristianan Spanyol adalah secara istiqamah menujah masuk ke selatan Filipina (Mindanao dan Kepulauan Sulu) tetapi tentangan berdarah dari masyarakat Islamnya juga istiqamah. Buktinya hingga ke hari ini tentangan berdarah ini masih berlaku. Tetapi bagi Spanyol dorongan membolot harta kekayaan yang banyak di selatan Filipina sangat kuat cuma perlu berkerja keras menukar agama “Muhamadan” mereka kepada Kristus agar mudah mereka masuk menyedut apa sahaja yang ada di bumi selatan Filipina itu.
.
Malangnya wilayah terakhir yang dipertahankan aqidahnya iaitu Pulau Cebu telah berjaya dikristiankan. Sejarah memberitahu kita wilayah terakhir yang berjaya dikristiankan ialah Pulau Cebu iaitu Permaisuri Raja Humabon telah masuk Kristian disebabkan tekanan politik dan taktik kotor pihak kolonial Spanyol. Tidak lama kemudian Raja Humabon sendiri telah murtad dan diikuti oleh rakyatnya. Kejayaan besar buat Spanyol. Maka misi seterusnya ialah wilayah selatan (Mindanao dan Kepulauan Sulu).
.
Kronologi Perang Moro Sulu Era Spanyol
Pemberontakan Bangsa Moro di Filipina barangkali adalah kesinambungan peperangan yang panjang sejak abad ke-15 dan ke-16 yang lalu. Islam telah datang ke Selatan Filipina pada abad ke-14 ke kepulauan yang terbentang luas hingga ke kepulauan Indonesia yang dibawa oleh para pedagang Islam dan para pendakwah (Ahlul-Bait), dan pada abad ke-16 dakwah Islam telah menyebarluas melalui gugusan kepulauan Sulu hingga ke Mindanao sehinggalah ke utara. Masyarakat ini mempunyai konsep kehidupan dan kekuasaan, kehidupan sosial, serta kedaulatan mereka sendiri. Kronologinya:

  • Pada 1565, Prof. Cesar menyatakan bahawa perang pertama meletus pada 1565 di utara Filipina (kawasan Bohol) antara kapal dagang orang Borneo (Melayu Brunei) dengan angkatan perang Legazpi. 20 orang Brunei terkorban sedangkan Spanyol hanya seorang yang terbunuh. Sebelum ini sememangnya orang-orang Brunei telahpun bertapak di pulau Luzon iaitu di Amanillah (sekarang Manila) yang diperintah oleh Kerabat Diraja Brunei iaitu Raja Sulaiman.[1]
    Tetapi sebelum itu telahpun berlaku peperangan kecil di pulau Cebu antara Ferdinand Magellan dengan perwira Lapu-Lapu (dari Bugis Sulawesi) [2] pada April 1521 yang membawa kepada pembunuhan Ferdinand Magellan.

  • Pada 1569, Orang Brunei bersatu dengan Orang Sulu[3] menentang Spanyol di perairan Visaya antara 9 buah kapal Spanyol melawan 20 buah kapal tentera Brunei dan Sulu. Malangnya tentera Brunei dan Sulu berjaya dikalahkan dengan merampas 4 buah kapal yang sarat dengan barang-barang dagangan yang berharga. Spanyol telah menuduh 20 kapal Brunei dan Sulu itu sebenarnya adalah Lanun. Maka bermulalah penggelaran lanun terhadap umat Islam Moro yang menentang Spanyol ketika itu oleh Montero y Vidal.

  • Pada 1574 Sultan Brunei mempersiap satu angkatan tentera untuk men-yerang Manila iaitu 100 perahu, 100 buah kapal kecil dengan tentera seramai lebih kurang 7,000. Ketika dalam perjalanan ke Manila Sultan Brunei memanggil tenteranya kembali semula ke Brunei disebabkan alasan tertentu.

  • Pada 1578 Pangeran Buong Manis (Pangeran Sri Lela) yang mahu merebut takhta kerajaan Brunei (dari saudaranya Seiful-Rizal) datang ke Manila me-minta bantuan Spanyol mengalahkan Seiful-Rizal. Sekiranya berjaya beliau berjanji membayar ufti kepada Spanyol. Peluang keemasan ini tidak dilepaskan oleh Spanyol lalu Gabenor Jeneral Francisco de Sande belayar ke Brunei dengan 40 buah kapal beserta serdadu 400 Spanyol, 1,500 anak tempatan Filipina dengan diiringi oleh tentera tambahan dari Pangeran Buong Manis iaitu orang-orang Brunei sendiri seramai 300 orang. Setelah 30 hari belayar, sampai ke Kuala Sungai Brunei dan pertempuran terus berlaku. Tentera Brunei yang dibantu oleh tentera Sultan Sulu (Pangeran Budiman @ Raja Ilo adalah saudara ipar kepada Sultan Seiful-Rizal)[4] itu telah dikalahkan oleh Spanyol. Seiful-Rizal melarikan diri bersama ayahandanya yang uzur Sultan Abdul Kahar ke pedalaman Brunei dan mendirikan istana di sana.

  • Kegembiraan Spanyol dalam kemenangan tersebut hanya sementara apabila selang beberapa bulan kemudian Pangeran Buong Manis (talibarut Spanyol) telah dibunuh dan Seiful-Rizal pula telah diangkat menjadi Sultan Brunei yang baru maka segala perancangan Spanyol bersama Pangeran Buong Manis untuk mendapat tempat di Borneo terbantut begitu sahaja.

  • Pada Jun 1578 Sultan Sulu (yang menyertai peperangan melawan Spanyol bersama saudara iparnya Seiful-Rizal di kuala Sungai Brunei telah berjaya meloloskan diri kembali ke Sulu setelah pasukan mereka dikalahkan oleh Spanyol). Didapati tentera Spanyol yang diketuai oleh Kapten Esteban Rodriguez de Figueroa atas arahan Francisco de Sande telah sampai di Jolo pula maka berlaku lagi satu pertempuran sengit antara tentera Sultan Sulu dengan Spanyol di Jolo malangnya tentera Sulu berjaya dikalahkan dan sultan terpaksa mengaku membayar ufti (inilah peperangan pertama antaraSultan Sulu dengan Spanyol di Jolo, Sulu).[5]

  • Pada 1597 di Mindanao, Sultan Maguindanao telah bersatu pula dengan Sultan Ternate (Maluku)[6] untuk menentang serangan Spanyol di Mindanao. Ternate (Maluku) menghantar 800 orang perwiranya membantu saudara-saudara seagamanya di Mindanao malangnya turut tumpas di tangan Spanyol.

  • Pada 1597 dalam tahun yang sama juga Kapten Joan Pacho berangkat ke Sulu dengan 60 serdadu Spanyol untuk suatu ekspedisi menghukum tapi telah diserang hendap oleh orang Sulu dan membunuh kaptennya sekali.

  • Pada Februari 1602 Spanyol menghantar lagi satu ekspedisi dari Manila diketuai oleh Juan Gallinto dengan 200 serdadu Spanyol serta beberapa serdadu anak negeri menuju ke Sulu. Spanyol menyerang penempatan orang Sulu di Jolo memaksa pejuang Sulu berundur ke pedalaman termasuk penduduk-penduduknya. Spanyol berjaya membuat kubu tetapi meninggalkannya kerana kekurangan bekalan makanan. Sebelum mereka meninggalkan Jolo mereka memusnahkan penempatan, perkebunan serta harta benda orang-orang Sulu.[7]

  • Pada Oktober 1616 orang-orang Sulu bersama dengan 80 buah perahu caracoa (seperti perahu joangga yang dikayuh oleh lebih sedozen pendayung serta diletak meriam di bahagian hadapan) melancarkan serangan keatas jajahan Spanyol di Pantao dan Camarines yang menjadi limbungan kapal Spanyol dan berjaya membakar 3 buah kapal yang masih dalam pembinaan termasuk sebuah gelon (kapal besar yang dilengkapi meriam). Tidak puas hati dengan harta rampasan dan tawanan, orang-orang Sulu menyerang limbungan kapal Spanyol di Cavite pula. Orang-orang Sulu sebenarnya dibantu oleh saudara mereka dari Kesultanan Brunei (tentunya orang-orang Tidung).[8]

  • Pada 1624 Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu menghantar perwakilan (berdagang) ke Manila bernama Datu Ache (Asri) iaitu seorang datu yang dihormati. Ketika balik dari Manila rombongan Datu Ache dipintas oleh Spanyol yang kebetulan sedang memburu orang-orang Tidung (Camucones) kerana menyerang pulau-pulau jajahan Spanyol. Datu Ache dan orang-orang Sulu (mungkin salah faham kerana mereka dianggap orang Tidung) telah ditangkap manakala kapalnya dirampas. Mereka dibawa ke Manila akhirnya dibebaskan dan Spanyol meminta maaf walaupun beberapa biji mutiara berharga Datu Ache telah diambil oleh panglima Spanyol. Datu Ache menganggap perbuatan Spanyol itu satu penghinaan terhadap dirinya yang bermaruah sebagai seorang datu yang dihormati yang sudah tentu turut memalukan Sultan Sulu sendiri.

  • Pada 1627 Sultan Sulu telah mempersiapkan angkatan tentera yang terdiri daripada 30 buah caracoas dan 2,000 perwira telah menyerang limbungan kapal Spanyol di Camarines dengan memusnahkan garison mereka (Sultan sendiri mengetuai serangan ini). Orang-orang Sulu merampas meriam, senapang dan ubat bedil serta barang-barang besi dan gangsa yang sangat diperlukan oleh mereka. Orang-orang Sulu membakar rangka-rangka kapal dan menumpahkan simpanan beras ke dalam laut (yang diperuntukkan Spanyol kepada pekerja garison) kerana tidak mampu dibawa sambil diperhatikan oleh pekerja-pekerja garison. Orang-orang Sulu pergi dari situ dengan membawa 300 orang tawanan.

  • Dalam serangan balas dendam ini Sultan Sulu menawan seorang wanita Spanyol bernama Dona Lucia (menjadi juru tulis sultan kemudiannya) yang kemudian menulis pesanan sultan yang titinggalkan ditempat itu untuk Kerajaan Spanyol menyatakan bahawa sebenarnya serangan itu merupakan balasan orang Sulu ke atas perbuatan salah sangka dan rompakan keatas duta mereka, Datu Ache. Dalam perjalanan pulang orang-orang Sulu turut men-yerang wilayah-wilayah lindungan Spanyol seperti pulau Bantayan dan Ormoc di Leyte dengan menawan 300 orang tawanan lagi.

  • Pada 1628 Spanyol dengan satu angkatan perang yang besar dari Manila bertolak ke Sulu. Pada 22 April tiba di Jolo dan menyerang dan membunuh serta memusnahkan apa sahaja yang mereka jumpa. Orang-orang Sulu tidak bersedia langsung sehingga dikatakan pihak Spanyol tidak mengalami kemalangan jiwa walau seorang. Spanyol menyerang kubu Sultan Sulu tapi tidak berjaya kerana terlalu kukuh dan dilengkapi oleh meriam-meriam besar. Tawar menawar telah berlaku antara Spanyol dan Sultan Sulu untuk membebaskan Dona Lucia.[9]

  • Pada 1629 orang-orang Sulu pula menyerang balas meranapkan penempatan-penempatan naungan Spanyol di Camarines, Samar, Leyte dan Bohol dengan kekuatan 36 caracoas.

  • Pada 17 Mac 1630 satu angkatan laut Spanyol mengandungi 2 buah ghalias (kapal besar dikelilingi meriam), beberapa buah tongkang, 50 buah caracoas bersama 400 serdadu Spanyol dan serdadu anak negeri seramai 2,500 telah bertolak dari Dapitan menuju ke Jolo. Tujuan utama angkatan besar tentera Spanyol ini adalah memusnahkan kubu kota gunung Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu yang kukuh itu. Setelah mendarat panglima Spanyol Lorenzo de Olaso mula-mula mengarahkan tenteranya berjalan kaki menuju ke kubu sultan. Malangnya perwira-perwira Sulu rupanya telah pun bersedia. Hanya menunggu masa menyerang. Perwira Sulu menyerbu, maka berlakulah serangan yang tidak diduga iaitu serangan sengit dari perwira-perwira Sulu sehingga ramai terbunuh dari pihak Spanyol. Spanyol dan orang-orangnya yang ketakutan itu berundur. Tetapi sebelum mereka berundur buat “selama-lamanya” Spanyol telah mengelilingi pulau itu dan memusnahkan penempatan-penempatan di sana sini dan berusaha menyelamatkan tawanan dari orang-orang Sulu yang ditawan sebelum ini. Tetapi gagal kerana Spanyol telah dilanda angin ribut lalu meninggalkan Jolo. Orang-orang Sulu menyerang balas lagi dengan menyerang Leyte pada tahun berikutnya dan dapat menawan ramai tawanan lalu dijual ke Makassar kepada orang-orang Bugis.[10]

Kami menamatkan perang Sulu era Spanyol ini di sini. Siri peperangan antara Spanyol dan orang-orang Sulu masih berterusan dan Spanyol sehingga peperangan akhir pun iaitu pada tahun 1867 – 1878 masih tidak dapat menakluki Sulu.
.
Peperangan terus berkesinambungan antara Spanyol dan Masyarakat Islam Moro sehinggalah pada tahun 1898 telah berlaku peperangan antara Amerika dan Spanyol. Amerika memenangi peperangan ini, maka muncullah satu lagi kuasa baru yang boleh dianggap pada ketika itu sebagai penyelamat. Amerika datang untuk menyelamat? Ia boleh sahaja dianggap penyelamat sebagaimana kedatangan tentera Jepun yang kononnya menyelamatkan Asia dari tentera luar dengan slogan Asia untuk Asia. Walhal era tentera Jepun lagi parah dari pada penjajah sebelumnya.
.
Maka Amerika Syarikat berjaya mengalahkan Spanyol dalam peperangan Spanyol-Amerika Syarikat. Pada tahun 1899, setelah mengetahui kekalahan pihak Spanyol dalamperang Amerika-Spanyol itu masyarakat Islam Moro menyedari satu kesempatan dari penurunan moral para tentera Spanyol. Maka tanpa membuang masa dengan semangat Jihad dan penuh persenjataan lengkap dengan masih mempertahankan identiti dan jatidiri mereka, maka untuk kali yang terakhir, dengan penuh semangat mereka telah menyerang dan memporak-perandakan pasukan Spanyol dari kota pertahanan mereka sebelum kedatangan tentera Amerika Syarikat untuk mengambil alih, di wilayah Jolo, Sulu.
.
Dari kesempatan ini boleh sahaja kita menganggap pasukan Islam Moro sebagai “menangguk di air yang keruh”. Maka kita melihat masyarakat Islam Moro telah semakin bersatu dengan panji-panji Sultan bertunjang Agama Islam anutan mereka di tegakkan dengan harapan setinggi langit iaitu kini mereka bebas memerintah dan merdeka. Malangnya masyarakat Islam Moro tidak menyedari yang mereka telah dijual hidup-hidup oleh Spanyol. Bagi Spanyol tidak begitu mudah mereka meninggalkan selatan Filipina tanpa memberi mereka kesengsaraan dan penghinaan setelah ketiadaan mereka.
.
“Sekalipun Spanyol gagal menundukkan Mindanao dan Sulu, Spanyol tetap menganggap kedua wilayah itu merupakan sebahagian dari wilayahnya. Secara tidak sah dan tak bermoral, Spanyol kemudian menjual Filipina kepada Amerika Syarikat dengan harga 20 juta Peso pada tahun 1898 melalui Perjanjian Paris. Amerika datang ke Mindanao dengan menampilkan diri sebagai seorang sahabat yang baik dan dapat dipercayai. Dan inilah perwatakan musuh-musuh Islam sebenarnya pada abad ini. Hal ini dibuktikan dengan termeterainya Perjanjian Bates pada 1899 yang menjanjikan kebebasan beragama, kebebasan mengeluarkan pendapat, kebebasan mendapatkan pendidikan bagi Bangsa Islam Moro.
.
Namun perjanjian tersebut hanya taktik mengambil hati orang-orang Islam agar tidak memberontak, kerana pada masa yang sama Amerika tengah disibukkan dengan pemberontakan revolusi Filipina Utara pimpinan Emilio Aguinaldo. Terbukti setelah pemberontak revolusi kalah pada 1902, sikap AS berubah dengan menunjukkan wajahnya yang sebenar. Setahun kemudian iaitu pada 1903 Mindanao dan Sulu disatukan menjadi wilayah Moroland dengan alasan untuk membangunkan rakyat Mindanao dan Sulu.
.
Sebaliknya apa yang berlaku ialah peperangan demi peperangan yang ditimpakan AS terhadap Bangsa Moro. Teofisto Guingona, Sr. mencatat antara tahun 1914-1920 rata-rata terjadi 19 kali pertempuran. Manakala di antara tahun 1921-1923, terjadi 21 kali pertempuran.”
.
Kita melihat betapa AS dengan kebijaksanaannya berdamai dengan Masyarakat Moro ketika AS sedang menangani pemberontakan di utara itu. Setelah berjaya mematahkan pemberontakan revolusi yang terdiri kelompok Kristian di utara Filipina pada 4 Julai 1902 dengan jayanya maka Presiden AS Theodore Roosevelt ketika itu menyatakan,
.
“ Keamanan telah pun tercapai di semua gugusan kepulauan, kecuali di negeri yang didiami oleh Kaum Moro”.
.
Dengan penuh ketidak-pekaan, wilayah selatan telah diserang dalam bulan Mei 1902. Maka bermulalah siri insiden, kemarahan yang amat, yang mana masyarakat Islam Moro di Sulu telah menjadi mangsa kekejaman yang tak dapat di gambarkan lagi.
.
Apakah ini yang dikatakan penyelamatan atau pembangunan? Atau sememangnya satu pembunuhan secara terancang untuk meng‘kasi’kan semangat orang-orang Islam Moro sebagaimana yang telah mereka buat terhadap kaum Red Indian di Amerika?
.
Sebenarnya boleh sahaja kita persalahkan masyarakat Moro ini kenapa mesti memerangi AS yang berjasa menyatukan dua wilayah besar Mindanao dan Kepulauan Sulu? Bukankah sebelumnya AS yang telah mengalahkan Spanyol dan menjadikan mereka (Moro) bebas dan terbela di tangan AS sekarang?
.
Bermacam persoalan yang bermain di kepala kita sebenarnya yang perlukan jawapan. Perlu ditegaskan disini bahawa AS tidaklah berpengalaman berperang dengan masyarakat Islam di Nusantara sebelum ini. Penulis menyebut Nusantara sebab budaya dan adat resam masyarakat Moro tiada bezanya dengan masyarakat Melayu lain di Nusantara, malah berkongsi Mazhab Sunnah (Syafi’i) yang sama serta sistem monarki Sultan yang sama. Malah AS sendiri tidak pernah lagi berperang dengan mana-mana wilayah Islam sebelum ini.
.
Fakta Kegagalan Amerika
Mengapa pendekatan AS menyatukan Mindanao dan Sulu yang di sebut Moroland itu tidak berjaya malah ditentang oleh masyarakat Moro? Bagi pihak masyarakat Moro sendiri pula apakah yang mereka inginkan sebenarnya lantaran mereka menentang habis-habisan penyatuan dua wilayah itu? Bukankah pendekatan AS itu baik untuk mereka?
Jawapan kepada persoalannya amat mudah iaitu mencari sebab-sebabnya terlebih dahulu. Kita lihat beberapa fakta yang mungkin membantu kita mencari sabab musababnya penentangan masyarakat Moro terhadap pendekatan AS itu.
.
Fakta 1:
AS setelah mengambil alih Filipina pada 1898 melalui Perjanjian Paris daripada Spanyol, AS mendapati wilayah Selatan masih ditadbir oleh masyarakat Moro dengan diketuai oleh Sultan dan para Datu yang masih berpegang kuat kepada ajaran Islam. Ini bermakna Spanyol telah menjual Negara Filipina kepadanya termasuk dua wilayah (Mindanao & Sulu) yang belum di kuasainya 100%.
.
Fakta 2:
Masyarakat Islam Moro yang majoritinya hanya di selatan terbahagi kepada dua wilayah besar iaitu Mindanao dan Sulu. Ini bermakna ditadbir oleh dua kekuasaan yang berdaulat masing-masing di bawah Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Sulu. Kedua-dua wilayah kesultanan punya sejarah peperangan yang panjang dengan Spanyol selama lebih 300 tahun dan masih belum dikuasai sekalipun ketika kedatangan Amerika Syarikat. Apa yang mereka mahu ialah kemerdekaan mutlak agar mereka bebas bergerak dan memilih Islam sebagai agama rasmi serta bebas mengamalkan adat resam dan budaya mereka. Bila AS mengambil alih kekuasaan dari Spanyol mereka (orang-orang Moro) mendapati bahawa tiada bezanya dengan Spanyol malah AS lagi teruk.
.
Fakta 3:
Setelah AS mendapati bahawa masyarakat Islam Moro belum ditundukkan oleh Spanyol malah sanggup menggadai nyawa sekali lagi sebagaimana yang telah mereka lakukan kepada Spanyol sebelum ini maka tiada cara lain melainkan menggunakan cara atau taktik “Menundukkan Red Indian” itu semula. Bagi AS ia adalah satu-satunya cara yang berjaya dan akan mengulanginya di Filipina kali ini. Sebab itu perlunya kedua wilayah itu disatukan tanpa mengambil kira kedudukan sultan-sultan di dua wilayah itu (sebab itu Perjanjian Bates telah dibatalkan oleh AS sendiri setelah menyedari perjanjian tersebut tidak menguntungkan mereka dan diganti pula dengan Perjanjian Carpenter pada 1915).

_______________________________________________________________________

AKHIRNYA satu lagi keadaan yang tidak diingini oleh umat Islam seluruh dunia pada ketika itu ialah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Sulu di Bud Bagsak dan Bud Dajo telah berlaku. Umat Islam Moro merasakan negara mereka dijual tanpa persetujuan mereka sendiri oleh Spanyol kepada Amerika. Bukan sahaja Bangsa Moro yang dijual hidup-hidup oleh Spanyol malah AS seolah-olahnya terbeli ikan busuk yang tidak sesuai lagi dimakan kecuali perlu dicincang lumat atau dilenyek terlebih dahulu sebelum dijadikan baja. Sebab itu salah satu tindakan AS untuk mem‘baja’kan bangsa Islam Moro ialah menyatukan dua wilayah besar Mindanao dan Kepulauan Sulu di bawah satu nama dan pentadbiran iaitu “MOROLAND”.
.
Bolehkah menyatukan dua wilayah yang bertaraf negara dengan empunya kesultanan masing-masing begitu mudah? Ia sama seperti menyatukan negara Malaysia dan negara Indonesia dalam satu negara kesatuan dengan istilah “Indonesia Raya” sebagaimana yang berlaku di era konfrontasi Malaysia-Indonesia ketika dulu kerana mendapat inspirasi dari Kesatuan Soviet di Russia. Ia tidak akan berjaya. Kalau ia berjaya sekali pun akan berlaku seperti apa yang kita lihat sekarang ini di selatan Filipina. Peperangan berterusan dan keganasan juga akan berterusan. Hasilnya penduduknya akan bertebaran merata-rata mencari penghidupan yang lebih selamat dari konflik yang tiada kesudahan. Pembangunan akan terbantut dan terus tergendala maka yang rugi umat Islam sendiri dengan kemunduran yang berleluasa.
.
Hakikatnya ialah, Mindanao punya sistem kesultanannya sendiri dibawah kesultanan Maguindanao. Kepulauan Sulu juga punya sistem kesultanan yang unik dan tersendiri malah kekuasaan kesultanan Sulu juga pernah menjadi empayar. Perlu juga ditegaskan di sini bahawasanya Masyarakat Moro di Mindanao adalah dikuasai oleh Kesultanan dan para Datu Maguindanao dan bahasa yang digunakan secara meluas ialah Bahasa Maguindanao dan Maranao. Suku-suku kaum di Mindanao juga banyak. Mereka punya sejarah kesultanan yang hebat menentang penjajah seperti Sultan Qudarat dan sebagainya.
.
Moro Lawan Amerika Syarikat
Filipina telah diserahkan kepada Amerika Syarikat (A.S.) dibawah perjanjian “Treaty of Paris” 1898. Wilayah Islam Sunni di Filipina selatan terpaksa mengatur pertahanan semula. Pada tahun 1899-1902 pemberontakan di Filipina  di wilayah Utara (pemberontakan Aguinaldo) telah berjaya ditamatkan dengan jayanya dibawah pasukan tentera A.S. dan telah diistiharkan tamat pada 4 Julai 1902. Presiden A.S. Theodore Roosevelt ketika itu menyatakan “Keamanan telah pun tercapai di semua gugusan kepulauan, kecuali di negeri yang didiami oleh kaum Moro”. Dengan penuh ketidak-pekaan, wilayah selatan telah diserang dalam bulan Mei 1902. Bangsa Moro tidak memerlukan A.S. malah memutuskan melancarkan Jihad demi kemerdekaan wilayah mereka dari kuasa asing samada Filipina, Spanyol atau A.S.
.
Tentera A.S , tentera laut dan darat akhirnya mendapati diri mereka berdepan dengan musuh iaitu Moro yang begitu cepat menyesuaikan diri dengan kedatangan AS menunjukkan kegagahan mereka, berdedikasi sesama mereka dan yang lebih penting Moro adalah musuh yang sangat ketat dan sukar. Malah tentera A.S. menjadi lebih berhati-hati dengan kesan semangat kerohanian Islam yang menyebabkan BangsaMoro terdorong berjihad, dengan pendirian bahawa apa yang benar pada mereka ialah kebebasan bernegara sendiri yakni ‘kemerdekaan’.
.
Berbanding Tentera A.S. peralatan ketenteraan Moro sangat daif dan ketinggalan. Tentera A.S. banyak senjata, model senjata seperti 30-caliber Krag-Jorgensen rifle- M1892 dan M1896 dengan senapang 5-shot magazine. Dicipta oleh Gatling dan Hotchkiss serta beberapa model meriam ringan. Manakala tentera Moro hanya memiliki pelbagai jenis senjata lama, termasuk senapang yang menggunakan ubat bedil (Muzzle-Loaders) dan beberapa meriam tembaga kuno. Itulah senjata yang mereka mampu dan mahir menggunakannya yang sangat memeranjatkan, dengan hanya senjata sampingan telah menaikkan kegerunan  musuh, mereka datang dan menyerang seolah-olah membunuh diri dengan harapan membunuh sebanyak mungkin sebelum diri-sendiri terbunuh. Tentera A.S. melihat dan baru dapat mengenali dan memahami betapa kemampuan orang Moro dengan Barong terhunus sepanjang 1½-kaki berbentuk seperti daun (Barong adalah senjata tradisi Moro, Kaum Tausug),  Pedang panjang Kampilan 3 ½-kaki adalah senjata tradisi Moro Kaum Maguindanao dan Maranao. Manakala Kris adalah senjata paling berkuasa ketika itu (di seluruh Nusantara).
.
Lazimnya, tentera Moro sangat terlatih dengan serangan dalam hutan, belukar dan serangan hutan paya, dan juga mahir dalam serangan kota. Orang Moro sering menyerang hendap kumpulan bergerak musuh ataupun sedang berkhemah dan selalu melakukan serangan secara dekat menetak dan menikam tentera A.S. dengan pantas sekalipun tentera A.S. bersenjata canggih ketika itu. Tentera A.S. tidak pernah tersua musuh jenis seperti ini sebelumnya, suasananya tidak seperti Peperangan Revolusi negera mereka dulu ataupun peperangan dengan Puak Indian.
.
Satu lagi masalah tentera A.S. ialah mereka tidak dapat membezakan tentera lelaki atau tentera wanita Moro. Kadang-kadang tentera wanita Moro mempunyai kupayaan sama dengan  tentera lelaki Moro sedangkan kononnya tentera A.S. hanya ditugaskan memerangi kaum lelaki sahaja. Ini adalah masalah besar tentera A.S. ketika itu (hanya alasan). Yang lebih memburukkan keadaan ialah pahlawan wanita berpakaian serupa dengan pakaian pahlawan lelaki Moro. Tentera A.S. ketika itu adalah dilarang menembak kaum wanita dalam kumpulan rakyat Filipina. Yang menambahkan lagi masalah tentera A.S. ialah fakta bahawa keupayaan luarbiasa dan keyakinan yang nekad oleh pahlawan Moro, walaupun mereka ditembak dengan senapang canggih berkali-kali tapi masih dapat menetak dengan Kris mereka sehingga kehembusan nafas mereka yang terakhir. Pahlawan Moro berlatih serangan berani mati, atau telah terbena semangat ingin mati dalam diri mereka, di seluruh dunia, pahlawan Muslim telah menjadi musuh yang sangat merbahaya, sebab tiada erti kehidupan di dunia buat mereka (setelah datangnya panggilan berjihad).
.
Juramentado Dan Jihad
Pihak Amerika dikejutkan dengan taktik serangan berani mati tentera Moro. Tentera Spanyol yang sebelum kedatangan tentera Amerika menggelar serangan berani mati sebagai “Juramentado”, secara kasar bermakna “nekad untuk mati” atau dengan kata lain ‘Berani Mati’. Begitulah cara tentera Moro mentafsirkan erti Jihad. Dengan tujuan yang nekad membunuh seramai mungkin tentera Kristian sebelum diri sendiri  mati untuk mendapatkan balasan syurga. Seorang Moro “Juramentado” akan menyerang kumpulan musuh dengan satu tujuan “membunuh dan mati”. Mujahideen Bangsamoro mengambil keputusan ini untuk mendapat keredhaan Allah swt, berkorban untuk mati.
.
Pada 1899, Lieutenant John J. Pershing telah tiba di Filipina dan ditugaskan dalam Eighth Army Corps. Misi utamanya ialah mengalahkan penyerang-penyerang Moro yang terdiri daripada pelbagai suku kaum itu. Akhirnya beliau dinaikkan pangkat sebagai Captain Pershing pada 2 February 1901. Beliau bertindak sebagai ‘adjutant’, jurutera, pegawai kastam dan komander pasukan berkuda. Penting juga dinyatakan di sini bahawa Pershing telah berada di Filipina dari 1899 hingga Jun 1913. Pershing juga dinaikkan pangkat ke Brigadier General oleh Presiden Roosevelt dalam tahun 1906 dan dihantar semula ke Filipina sebagai Gabernor Wilayah di selatan Filipina dan ditugaskan untuk membuat perjanjian dengan Moro.
.
Satu alasan yang perlu diperhatikan apabila tentera Moro secara berterusan menyelinap masuk menyerang dan membunuh rakyat Jolo, pegawai-pegawai Jolo, tentera Amerika atau rakyat Amerika ketika 1912 dan pada awal 1913 menjadikan General Amerika tertekan menyebabkan kerahan memburu dan menyerang tentera Moro. Diketahui dengan jelas juga bagaimana 38-caliber U.S. Army revolver tidak dapat menewaskan Pahlawan-pahlawan Moro yang terus menyerang dan membunuh tentera Amerika walaupun telah berkali-kali ditembak di tubuh mereka. Bila Brigadier General John J. Pershing mendapat penghantaran kapal yang membawa persenjataan baru yang lebih berkuasa 45-caliber automatic revolver, dia begitu berharap senjata baru itu dapat menghentikan serangan berani mati para juramentado Moro. (pent.- Selepas ini berlakulah pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Amerika ke atas orang Moro di kota pertahanan Bud Bagsak, Jolo Sulu).
.
Kebangkitan Bangsa Moro Abad Ke-21: (Kesinambungan perang angkatan bersenjata Moro pada abad ke-20).
Pengulas abad ke-21 dari Filipina, serangan pengganas 11 September 2001 di Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon denga cepat menuduh “Juramentado”. Seorang pemerhati menyatakan: “Keputusan bahawa (11 September) pengganas membunuh seramai mungkin dan akhirnya turut membunuh diri mereka mengingatkan kita pada orang Islam ‘Juramentado’ di Zamboanga dan Jolo, Filipina Selatan ketika era penjajahan Amerika ke atas kepulauan itu pada awal 1900-an”.
.
Pertembungan Moro dengan bala tentera U.S. berterusan sejak ketika memuncaknya perang yang pertama pada 1902 sehingga dengan rasminya tentera U.S. memerintah penuh pada 1913. Perang Dunia Pertama telah menjadi gangguan, dan perang telah mancapai tahap yang lebih rumit dengan menaikkan semangat masyarakat Filipina Utara (Wilayah Kristian totok) menuntut perhatian dan keadilan berbanding Moro, serta cita-cita Jepun menakhluk Filipina dalam Perang Dunia II menambahkan lagi kekecewaan Moro untuk mendapatkan kemerdekaan. Kemasukan Jepun telah ditentang hebat oleh tentera Moro, tetapi setelah selesai perang (War World II) Filipina telah dimerdekakan  pada 04 July 1946, dan masyarakat Moro mendapati diri dan wilayah mereka telah disatukan bersama Republik Filipina pula.
.
Dekad yang seterusnya, Moro menyambung penentangan mereka berbanding berintegrasi dengan Republik Filipina. Kerajaan melaksanakan migrasi Kristian Filipina ke tanah atau wilayah tradisi Moro di Selatan yang mana dilihat oleh masyarakat Moro sebagai pengambil-alihan tanah secara besar-besaran adalah seperti mencurah minyak ke api. Perjuangan Moro mutakhir menggambarkan persamaan kemasukan rakyat Filipina (Kristian) ke Selatan dengan “Tindakan Polis ‘Israel’ menentang rakyat Palestin”. Kerajaan Kristian Utara akan menambahkan lagi ancaman keatas identiti Masyarakat Islam Moro. Moro gunakan taktik perang gerila di Pulau Jolo telah mendapat perhatian Major General Jens A. Doe, general pemerintah 41st Infantry Division, pada April 1945.
.
Kebangkitan MNLF Melawan Marcos
Moro menuntut bahagian dari hasilbumi mereka daripada Kerajaan Pusat dengan permintaan yang berbeza iaitu pelaburan ke kawasan mereka, pendidikan, penjagaan kesihatan, mendapat hak sistem keadilan, dan beberapa permintaan lagi iaitu pemangkin aspirasi kepada kemerdekaan sebelum ini. Tetapi kumpulan-kumpulan ganas Kristian yang bersekongkol dengan angkatan polis tempatan telah melakukan kekejaman terutamanya pembunuhan beramai-ramai Jabidah pada 18 March 1968, telah menjadi bencana melahirkan tindakbalas ganas dari Moro ketika era pemerintahan Marcos. Tentera Filipina membunuh sekurang-kurangnya 200 Moro yang direkrut di Corregidor Island. Para rekrut ini (Jabidah Special Forces) sedang dalam latihan untuk misi perang yang luarbiasa dengan sasaran iaitu merampas Sabah (Borneo) yang dipertikaikan pemilikan Malaysia ke atas Sabah di bawah kod “Operation Merdeka”.
.
Para rekrut Moro telah ditembak setelah enggan mengikut arahan dan juga untuk menyembunyikan bukti tujuan sebenar operasi itu. (Bermakna mereka dibunuh setelah mengetahui tujuan mereka di latih lalu enggan mengikut arahan seterusnya)
.
Setelah tercetus situasi ini maka tiba-tiba secara diam-diam tertubuhlah satu formasi tentera, Moro National Liberation Front (MNLF) lewat 1969. Para pelajar Moro dari seluruh universiti di Filipina, Mesir, dan dimana-mana tempat di Timur Tengah yang prihatin untuk mewujudkan negara Islam yang merdeka di Filipina Selatan bersatu menubuhkan MNLF. MNLF semakin kuat dengan bantuan asing seperti Muammar Qaddafi dari Libya dan turut membantu ialah Gabenor Sabah, Malaysia, yang menyumbang persenjataan dan lain-lain bantuan perubatan dari Libya yang juga melatih latihan ketenteraan para belia Moro.
.
Dengan dokongan bantuan persenjataan dari luar dan bermacam-macam lagi bantuan, dalam pertengahan 1970-an, MNLF dianggarkan mempunyai ahli yang mencecah 30,000 tentera lelaki lengkap bersenjata bertempur dengan tentera Filipina dan Polis di kepulauan Sulu dan Mindanao. Pada awalnya telah menampakkan kejayaan tetapi mula lemah penentangannya pada lewat 1975, walaubagaimana pun para pemimpinnya berpindah ke Sabah dan mendapat sedikit bantuan dari kerajaan serta Program Amnesty. (Talipok, Kota Kinabalu & Mawtas atau Kg. Bahagia Sandakan adalah sebahagian Penempatan Amnesty untuk pelarian Filipina yang masih wujud sehingga ke hari ini). Genjatan senjata pada 1976 dan pembangunan di kawasan otonomi sementara telah diberikan, tetapi bukannya kemerdekaan, zon kawasan masyarakat Islam di selatan seolah-olahnya adalah kawasan mutlak MNLF. Tidak lama kemudian, disusuli oleh Iran dengan kebangkitan revolusinya pada 1979 telah turut membantu datangnya curahan bantuan dan dokongan semula di peringkat antarabangsa kepada MNLF.
.
Kemudian pada tahun 1987 di Jolo Filipina tercetus lagi satu ensiden yang menyebabkan perang Moro masih tiada jalan penyelesaian. Seorang Datu, iaitu Datu Halun Amilusia yang memiliki senapang antik ayahnya era Perang Dunia II, jenis M-1 Carbine yang begitu bangga dengan riflenya. Ketika dulu pernah digunakan membunuh tentera Jepun dan pernah melalui zaman kerajaan Islam ketika dulu, dan juga pernah membunuh tentera Filipina. Khabarnya adik lelaki dan Ayah Datu ini, Pernah mendapat anugerah “Bronze Star” kerana keberanian menjadi tentera gerila menentang tentera Jepun, telah dibunuh oleh tentera Filipina pada 1985 ketika tentera Filipina menyerang rumahnya. Pembunuhan seperti ini bukannya sedikit, maka tindak balas ganas dari pihak Moro akan berterusan.
.
Kebangkitan MILF
Dalam tahun 1979, satu kumpulan kecil saingan yang tidak bertahan lama telah muncul yang telah diasaskan oleh pemimpin MNLF yang tidak sehaluan yang berpusat di Saudi Arabia. Pada 1977 iaitu Bangsa Moro Liberation Organization, kepimpinan MNLF yang tidak bersatu menyebabkan perpecahan maka tertubuhla organisasi ini. Pada 1983 satu lagi kumpulan serpihan tersebut menamakan kumpulan baru iaitu MILF (Moro Islamic Liberation Front). Walaupun MILF lebih kecil dari pendahulunya (MNLF) tetapi juga mempunyai keupayaan yang tidak terduga dengan persenjataan perang yang lengkap.
.
Pada ketika ini, 3 organisasi Islam dengan keunggulan masing-masing ingin menunjukkan kepada masyarakat Moro dengan janji menaikkan taraf hidup mereka, genjatan senjata, serta berbincang perdamaian dengan organisasi pertubuhan Moro lain untuk berdamai dengan kerajaan Filipina. Tetapi suasana menjadi semakin rumit bila satu lagi kebangkitan yang lebih jauh dari jangkauan geografi, iaitu bermulanya perang Soviet-Afghan pada Disember 1979. Telah menghasilkan satu lagi kumpulan, lebih radikal dan ganas berbanding kumpulan  pemberontak Islam lain di Filipina, dinamakan Abu Sayyaf Group (ASG).
.
Kebangkitan Abu Sayyaf  (ASG) dan Keganasan?
Sebelum kita menelusuri asal kemunculan  formasi ASG ini secara terperinci, secara kasarnya kita bersetuju bahawa pengasas kepada kumpulan Moro ini ialah Abdurrazak Abu  Bakar Janjalani yang pernah belajar di Timur Tengah telah tertarik dengan fahaman Wahhabi yang dilagang oleh Professor Abdul Rasul Abu Sayyaf. Professor Afghan dan kaum dari etnik Pashtun ini adalah seorang bekas pengikut fahaman yang berasal dari Arab Saudi – yang diasaskan pada kurun ke-18 oleh Muhammad ibn Abdul Wahhab (Sebenarnya Arab Saudi bermazhab Neo-Hambali yakni Mazhab Hambali mengikut acuan Ibnu Taimiyyah yang diperkenalkan oleh Muhammad Bin Abdul Wahhab kepada pemerintahan awal Bani Sa’ud. Sebahagian umat Islam menggelar mereka Wahhabi tetapi mereka yang digelar wahhabi ini pula menamakan diri mereka Salafi).
.
Selepas pelanggaran Soviet ke atas Afghanistan, Abu Sayyaf, dikatakan telah menjadi seorang yang disegani, sifat kepemimpinannya terserlah dan telah mewujudkan kumpulan-kumpulan mujahideen yang beroperasi dekat Kabul yang menentang tentera Soviet pada 1986. Untuk menunjukkan kesatuan Islam, para simpati radikal  pengikut Wahhabi dari Arab Saudi adalah penyumbang kewangan terbesar kepada kumpulan ini, yang juga bantuan dikaitkan dengan persaudaraan  Islam. Yang akhirnya menjadi pemusatan aktiviti oleh seorang rakyat Jordan berbangsa Palestin Sheikh Abullah Azzam untuk membawa masuk ramai mujahideen dari luar yang juga mendapat pelbagai sokongan pada 1984. Kewangan dan sumbangan lain selalunya datang dari sumbangan amal umat Islam.
.
Dilaporkan ASG telah melatih lebih kurang 20,000 tentera mujahideen asing. Kebanyakan dari mereka yang dilatih di kem berhampiran Peshawar, Pakistan, yang bersedia untuk dekerah berperang adalah dari Timur Tengah, Afrika Selatan dan Filipina.
.
Abu Bakar Janjalani  (Abdurrazak) sendiri tiba di Afghanistan pada 1986 dan di laporkan menyertai Kesatuan Islam Sayyaf (Sayyaf’s Islamic Union). Dia berkemungkinan berada di Afghanistan dalam kem latihan Sayyaf dan seterusnya berada di situ sehingga perang tamat. Sebagaimana ribuan tentera Islam yang bukan berbangsa Afghan, termasuk mujahideen Mesir, Saudi, Algeria, Chechen, Uzbek, Kuwait, Uighurs dari Xinjiang China, dan lain-lain, Janjalani juga turut serta menghalau keluar Tentera Soviet dari Afghanistan. Dengan tamatnya peperangan mujahideen mendapat kejayaan yang membanggakan pada Februari 1989, hampir kesemua pejuang mujahideen asing bertebaran di negara-negara Islam di seluruh dunia setelah kembali ke negara masing-masing.
.
Telah didokumentasikan dengan baik, bahawa kebanyakan dari mereka telah terlibat dengan kekacauan dan kumpulan-kumpulan penentang bersenjata untuk berperang atas nama jihad keatas rejim kerajaan masing-masing yang dianggap telah melakukan bid’ah atau keterlaluan mengikut pemerintahan acuan barat. Kesinambungan terjalin erat dan semakin subur dari pengalaman perang Afghanistan, telah menguasai peraturan dalam serangan ke atas kehidupan rakyat Amerika Syarikat, harta serta kepentingan A.S. di seluruh dunia yang akan terus berlaku dimasa-masa akan datang.
.
Pada pertengahan 1989 hingga 1990, Janjalani muncul dan meninggalkan Afghanistan menuju ke wilayah asalnya di Filipina iaitu Pulau Basilan, Sulu yang hanya dipisahkan oleh selat lurus dengan ibu negeri Mindanao, Zamboanga. Dia dan ramai lagi bekas pejuang Afghan Moro kembali ke Filipina dengan pandangan, kejayaan Afghanistan perlu diulangi di Filipina. Azam yang begitu tinggi untuk mendapatkan kemerdekaan dengan mewujudkan kerajaan Islam yang tegas di Selatan Filipina.
.
Ada juga Mujahideen Moro yang sekembali dari Afghan menyertai MNLF dan sebilangan lagi menyertai MILF. Walaubagaimana pun Janjalani (Abdurrazak) percaya akan “keaslian” agama Islam yang di bawa oleh Wahhabi. Di Basilan dengan bandar utamanya Tabuk, dia pernah berkata bahawa sudah tiba masanya mengubah kepada suasana awal (awal Islam) dengan wanita berpakaian hitam dan lelakinya memakai pakaian kelabu atau putih.
. 
Dia memulakan dengan beberapa orang pengikut dan menubuhkan kumpulan pemberontak yang dinamakannya Abu Sayyaf. Sempena nama mentornya (Prof. Abdul Rasul Abu Sayyaf). Elemen tidak sehaluan dalam MNLF yang diketuai oleh seorang yang berfahaman sama dengan Janjalani, seorang guru yang warak bernama Wahab Akbar, menyertai Janjalani dalam perjuangan ini. Dengan pengikut yang kecil pada peringkat awal kira-kira 20 keahlian, dengan matlamat mewujudkan kerajaan Islam yang asli di Mindanao.
.
ASG semakin berkembang dengan keahlian yang semakin ramai sekurang-kurangnya beberapa ratus keahlian yang semakin menonjol dan semakin dirasakan kehadirannya di Basilan, gugusan kepulauan Sulu  dan beberapa kawasan di Mindanao. ASG telah menunjukkan dirinya yang sebenar di khalayak dengan sifat ganasnya seperti pengeboman, pembunuhan, serangan dan serang hendap yang juga diketahui sebagai merompak, memeras ugut, penculikan dan akhirnya menjadi ‘trademark’ mereka.
.
Salah satu elemen yang cukup besar yang mengundang tindakbalas Tentera Filipina yang di sokong oleh A.S berkemungkinan disebabkan penahanan 2 muballigh Kristian dari Wichita, Kansas dan beberapa ‘Nurse’ Filipina. ASG juga digambarkan sebagai satu kekuatan yang menguasai lautan tradisi Moro, aktiviti pelanunan berleluasa di sekitar perairan Filipina yang kadang-kadang aktiviti mereka menjangkau ke tempat-tempat yang lebih jauh dari rumah mereka. Komentator Filipina membuat perbandingan  antara  salah seorang lanun yang manjadi legenda bernama Jikiri (Dzikiri) kira-kira tahun 20-an yang lalu dengan  kumpulan ASG mempunyai persamaan. Selepas bertahun berjaya dengan perlakuan jenayahnya iaitu dengan berselindung di sebalik tuntutan mengembalikan sebahagian hak-hak orang Moro, yang akhirnya Jikiri terbunuh setelah bertempur dengan pegawai Amerika secara “hand-to-hand” di Pulau Patian. Kini, kapal-kapal perniagaan komersil mula takut yang ASG pula dan kumpulan-kumpulan ganas lainnya akan mengalihkan perhatian kepada mereka sebagai mangsa mudah di lautan yang terbentang luas itu akan menjadi kenyataan.
.
Askar Filipina dan angkatan Polis juga mencapai beberapa kejayaan dalam misi menghapuskan ASG, termasuk kejayaan meragut nyawa pengasasnya, Janjalani (Abdurrazak) pada Disember 1998 dalam satu pertempuran bersenjata yang juga turut menangkap atau membunuh beberapa pemimpin beserta pengikut lain. Khaddafy Janjalani, adik kepada  pengasasnya dan dengan gelaran seperti nama pemimpin Libya yang mendapat sokongan, kini menjadi pemimpin ASG yang baru.
.
Laporan ada mengaitkan antara Osama Bin Laden dan ASG yang pernah bertemu di Afghanistan pada 1980-an di mana Osama seperti juga Janjalani (Abdurrazak) sangat rapat hubungannya dengan Professor Abdul Rasul Abu Sayyaf  ketika dalam Sayyaf’s Islamic Union dan turut sama-sama berperang. Ketika kerahan perang Afghan, Al-Qaeda kumpulan  Osama ini dilaporkan penyumbang kewangan di samping penyumbang lain kepada ASG. Walaubagaimana pun secara tepat bantuan itu disalurkan tidaklah diketahui.
.
Pada awal pertengahan 1990-an adik tiri Osama, seorang jutawan Arab Saudi bernama Muhammad Jamal Khalifa, disyaki salah seorang dari  ketua penyumbang kewangan kepada ASG dan berkemungkinan pemberontak Islam Filipina turut mendapat bantuan sama. Melalui sumbangan amal di Filipina, sesetengah sumbangan melalui individu yang ada pertalian dengan Khalifa, Ramzi Yusuf, yang mana terlibat dalam pengeboman Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center) pada 1993.
.
Kami menamatkan perang Moro ini di sini. Mengenai sejarah ASG di atas, jelas menunjukkan pada kita asal usul ASG itu. Beberapa orang Sulu yang kami temui dan temuramah melalui internet menyatakan bahawa Abdul Razak Janjalani itu sekalipun dikatakan menganut ajaran Wahhabi/Salafi tetapi telah menunjukkan keazaman dan ketelusan semasa hayatnya memerangi ketidak adilan Filipina terhadap Sulu. Tetapi setelah beliau terbunuh, jamaahnya telah diambil alih oleh pemimpin yang telah disusupi anasir luar. Hakikatnya ASG itu adalah produk CIA dengan kerjasama pihak keselamatan Filipina sendiri dengan merancang serangan-serangan ganas agar ASG dituduh pengganas pula, maka ada alasan meminta bantuan Amerika seterusnya membawa tentera Amerika masuk ke Sulu.
________________________________________________________________________
Ulasan: Dalam konteks penentangan orang-orang Moro di Selatan Filipina, perlu kita ambil perhatian bahawasanya mereka (orang-orang Moro) secara semulajadinya menentang kepada pencerobohan penjajah yang sudah mereka maklumi sebagai pembawa ajaran Kristian kerana mereka telah pun menyaksikannya sendiri bagaimana para penjajah berjaya mengkristiankan utara Filipina. Prof. Cesar telah menyentuh perkara ini dalam bukunya ‘Islam Di Filipina’ bahawa Spanyol telah menunjukkan diri mereka sebagai penjajah yang memaksakan agama mereka (Kristian) keatas Moro Sulu sebab itu orang-orang Moro Sulu termasuk Moro Mindanao sangat keras penentangannya terhadap Spanyol hinggakan tidak pernah Spanyol mendapat kesempatan menakluk wilayah selatan kecuali memeterai perjanjian perdagangan sahaja. Spanyol telah melakukan perkara yang memalukan dan biadap dengan menjual kesemua wilayah Filipina termasuk Sulu dan Mindanao kepada Amerika Syarikat (setelah kalah perang) dengan harga murah. Walhal dua wilayah besar Sulu dan Mindanao itu tidak pernah ditakluki oleh Spanyol.
.
Rentetan dari penjualan negara yang biadap itu, Amerika mendapati dua wilayah di selatan itu belum tertakluk sebab itu Amerika mengganas di Sulu dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai yang tercatat dalam sejarah mereka sendiri sebagai “Pembunuhan yang memalukan”.
.
Kerana membunuh ribuan rakyat Moro Sulu termasuk kaum wanita dan kanak-kanak hanya disebabkan kaum Tausug tidak puas hati dengan pendudukan Amerika di wilayah mereka yang sememangnya merdeka. Prof. Datu Emmanuel D.Mangubat menyatakan dalam satu artikelnya dalam akhbar tempatan Filipina bahawa ketika Aguinaldo berjaya memerdekakan Filipina dari tangan Amerika Syarikat wilayah Selatan (Moroland) itu masih berperang dengan Amerika maka bagaimana mereka (Filipina) mengatakan yang Sulu dan Mindanao itu wilayah mereka? Wallahu a’lam.


Nota kaki:

[1] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 154 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988).
.
[2] Lapu-Lapu perwira yang membunuh Ferdinand Magellan ini dikatakan berbangsa Bugis dari Sulawesi manakala dari versi lain menyatakan bahawa beliau ialah dari kaum Tausug Sulu. Rasanya kedua-duanya benar, sebab sekiranya beliau berasal dari Tanah Bugis sudah tentu di Sulu pun ada kaum yang berasal dari Tanah Bugis itu, iaitu kaum Tausug Baklaya. Tausug Baklaya adalah Tausug yang tinggal di persisiran pantai Sulu dan sejarah menyatakan mereka berasal dari Sulawesi atau dari Tanah Bugis.
.
[3] Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei sememangnya adalah bersaudara sekalipun antara mereka tidak berkahwin campur kerana moyang mereka Sultan Sulu, Sultan Shariful Hashim (keturunan Sayyidina Hussein r.a.) dan Sultan Brunei, Sultan Sharif Ali Barakat (keturunan Sayyidina Hassan r.a.) itu adalah dikalangan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.
.
[4] Rujuk: Salsilah Kesultanan Sulu susunan YM Datu Ali Aman – Pangeran Budiman @ Raja Ilo sebenarnya adalah Sultan Sulu dari keturunan Sultan Shariful Hashim, anak saudaranya berkahwin dengan Sultan Brunei ketika itu.
.
[5] Prof. Cesar, Op. Cit., m.s. 159.
.
[6] Ibid, m.s. 162, 168 & 171.
.
[7] Ibid, m.s. 168.
.
[8] Ibid, m.s. 176-177
.
[9] Ibid, m.s. 180-181.
.
[10] Ibid, m.s. 184.