Friday, May 8, 2009

Sayyid Jamaluddin Al Kubra - Datuk Nenek Ulama Melayu

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DATUK nenek ulama dan tokoh besar yang diperkenalkan ini adalah seorang ulama bernama Ahmad al-Jarimi al-Yamani yang berpindah ke Yaman melalui negeri Syam.
Diriwayatkan salah seorang anak beliau pindah ke Fathani Darus Salam, lalu membuka sebuah perkampungan baru yang dinamakan Kampung Jerim/Jaram atau dalam dialek Patani disebut Kampung Jering.
Saiyid Jamaluddin al-Hadhrami al-Jarimi al-Yamani adalah salah seorang keturunan mereka. Beliau mempunyai nama yang banyak iaitu Saiyid Jamaluddin al-Akbar, Saiyid Jamaluddin al-Kubra al-Husein. Dalam versi Patani digelar juga dengan ‘Abar’ atau ‘Ibar’. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, perkataan ‘al-Abar’ terjemahannya dalam bahasa Melayu ialah ‘terlebih mempunyai kebajikan’ atau ‘terlebih banyak kebajikan’.
Jika ditambah sabdu pada huruf ba dan menjadi ‘al-abbar’, ianya bererti pembuat jarum. Perkataan ibratun dalam bentuk jamaknya ‘ibarun’ dan ‘ibaarun’, kedua-duanya bererti jarum.
Nama ‘Abar’ atau ‘Ibar’ adalah gelaran untuk Saiyid Jamaluddin al-Husein yang barangkali tulisan asalnya ialah antara huruf ba dan huruf ra, dan tidak terdapat huruf alif.
Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani, bahawa Nabi Muhammad s.a.w digelar juga dengan al-Shadiq al-Abar yang bererti yang benar lagi terlebih mempunyai kebajikan atau yang benar, yang terlebih banyak kebajikan.
Istilah ‘Abar’ pula adalah dari perkataan dialek orang-orang Patani, yang berasal dari perkataan ‘al-akbar’ kerana nama sebenar ulama ini adalah Saiyid Jamaluddin al-Akbar.
Abar/Ibar menurut versi Patani adalah lahir di Kerisik, Patani. Tetapi dalam kebanyakan sejarah, dikatakan bahawa beliau adalah seorang keturunan Arab yang menyebarkan Islam di Kemboja.
Namun ada pendapat mengandaikan bahawa beliau lahir di Kemboja. Kemboja yang dimaksudkan ialah negeri Cam yang dibuka oleh orang-orang Patani bersama-sama orang-orang Arab dan Parsi dalam pelayaran menuju ke negeri Cina pada zaman dulu.
Lama kelamaan nama Cam itu berubah menjadi Campa, kemudian Cam/Campa itu terkenal sebagai kawasan yang berperanan dalam penyebaran Islam di dunia Melayu dalam abad ke-14 dan 15 Masihi.
Dalam Pesaka IX halaman 4, Abdul Rahman al-Ahmadi menulis, “Islam di Campa dibawa oleh seseorang mubaligh terkenal, Syeikh Hussain Jamaluddin al-Qubra yang sebelum ke Campa pernah beristeri dengan salah seorang puteri dari atau dinasti yang nanti kemudian hari menurunkan raja terkenal dalam sejarah dengan gelaran Raja Cermin.
“Di Campa, Syed Hussain Jamaluddin al-Qubra telah berkahwin pula dengan Ramawati, puteri Sultan Zainal Abidin Syah, Raja Campa....”.
Martin Van Bruinessen telah memetik tulisan Saiyid ‘Al-wi Thahir al-Haddad, lalu menulis dalam buku berjudul Kitab Kuning, “Putra Syah Ahmad, Jamaluddin dan saudara-saudaranya konon telah mengembara ke Asia Tenggara.
“Jamaluddin sendiri pertamanya menjejakkan kakinya ke Kemboja dan Aceh, kemudian belayar ke Semarang dan menghabiskan waktu bertahun-tahun di Jawa, hingga akhirnya melanjutkan pengembaraannya ke Pulau Bugis, di mana dia meninggal.” (al-Haddad 1403 :8-11).
Diriwayatkan pula beliau menyebarkan Islam ke Indonesia bersama rombongan kaum kerabatnya. Anaknya, Saiyid Ibrahim ditinggalkan di Aceh untuk mendidik masyarakat dalam ilmu keislaman.
Kemudian, Saiyid Jamaluddin ke Majapahit, selanjutnya ke negeri Bugis, lalu meninggal dunia di Wajok (Sulawesi Selatan). Tetapi menurut K.H.R. Abdullah bin Nuh pula di Tuwajuk yang menurut sumber dari Gresik:Wajok-Makasar.
Tahun kedatangannya di Sulawesi adalah 1452M dan tahun wafatnya 1453M yang disebut oleh Ibhar dalam bukunya Wali Songo halaman 40. Namun menurut penelitian penulis berkemungkinan faktanya adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Mengenai Islam di negeri Bugis dalam Hadiqat al-Azhar, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani menulis, “Dan raja yang ke empat puluh daripada mereka itu namanya Lam Dasilah anak Datuk Raluwak. Dan Lam Dasilah inilah awal mereka yang masuk Islam di dalam tanah Bugis pada tahun delapan ratus daripada hijrah (800H). Dan masuk Islam kemudian daripadanya oleh ahli Bugis sekalian mereka itu.”
Tahun 800H yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu kira-kira bersamaan dengan tahun 1397M.
Apabila memperhatikan peristiwa Saiyid Jamaluddin ke Jawa dalam tahun yang tersebut, maka berkemungkinan yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada tulisan tersebut adalah tahun itu juga kedatangan Saiyid Jamaluddin ke tanah Bugis itu.
Ini bererti catatan Syeikh Ahmad al-Fathani tersebut adalah satu kontroversi dengan pendapat umum ahli sejarah yang menyebut bahawa yang pertama mengislamkan tanah Bugis adalah tiga orang ulama yang berasal dari Minangkabau. Meraka ialah Khatib Tunggal Abdul Makmur yang digelar Datuk Ri Bandang, Sulaiman Khatib Sulung yang digelar Datuk Patimang dan Abdul Jawad Khatib Bungsu dengan gelaran Datuk Ri Tiro, dan mereka sampai Sulawesi pada tahun 1605M.
Satu kontroversi pula terhadap buku berjudul Hikayat Pada Menyatakan Ceritera-Ceritera Tanah Melayu dan Pulau Perca dan Sebagainya, yang menyebut bahawa bangsa rumpun Melayu yang terakhir memeluk Islam ialah bangsa Bugis tahun 1620M. Menurut buku itu juga, Islam mulai tersebar di alam Melayu pada tahun 1100M.
Bukti bahawa Islam yang disebarkan di Sulawesi jauh lebih awal dari kedatangan Datuk Ri Bandang dan sahabat-sahabatnya tahun 1605M itu, adalah salah seorang ulama keturunan Patani-Johor masih ada hubungan kekeluargaan dengan Saiyid Jamaluddin menyebarkan Islam ke Pulau Buton dalam tahun 815H/1412M.
Jika dibandingkan kedatangan Saiyid Jamaluddin ke tanah besar Sulawesi (800H/1397M) dengan Pulau kecil yang berdekatan dengannya, iaitu Pulau Buton (815H/1412M) hanya berbeza lebih kurang 15 tahun sahaja.
Mubaligh tersebut lalu diundang oleh Raja Mulae Sangia i-Gola dan baginda langsung memeluk agama Islam. Seratus tahun kemudian, seorang mubaligh yang berasal dari Patani-Johor juga bernama Syarif Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan Saiyid Jamaluddin tiba di Pulau Buton tahun 1564M, barulah raja di Kerajaan Wolio dan rakyat jelata memeluk Islam secara massa.
Dibandingkan pula dengan tulisan La Ode Malim, kata penghantar buku Membara Diapi Tuhan oleh Sultan La Ode Muhammad Idrus Qaimuddin, Saiyid Jamaluddin al-Akbar al-Husein memperoleh anak tiga orang, iaitu Saiyid Ibrahim, Saiyid Barakat Zainal Alam dan Saiyid Ali Nur Alam. Ketiga-tiga anak beliau menurunkan sangat ramai tokoh-tokoh pemimpin dan penyebar Islam yang terkenal di alam sejagat dunia Melayu.

2 comments: