Monday, March 2, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Rakyat Sulu (Moro) Bukan Rakyat Filipina

Adakah Penafian Orang-orang Sulu Bahawa Mereka Bukanlah Rakyat Filipina Itu Adalah Satu Gurauan?

DI SABAH, pendatang dari Sulu (Tausug, Sama@Bajao, Kalibugan, Yakan atau Kagayan) dipanggil "Orang Filipin" oleh penduduk tempatan Sabah. Ini tidaklah menghairankan sekiranya orang tempatan Sabah menggelar "Orang Filipin" kepada pendatang Sulu ini disebabkan anggapan yang mereka itu datang dari Filipina. Malangnya panggilan "Orang Filipin" akan turut memalit orang-orang Suluk yang sememangnya berada di Sabah sejak sebelum merdeka lagi. Sesetengah kes orang yang bertutur Bahasa Suluk[1] turut dicap juga sebagai "Orang Filipin". Apakah benar setiap yang bertutur Bahasa Suluk itu datang dari Filipina? Tentulah salah sekiranya kita sebut "datang dari Filipina" yang benar ialah "datang dari Sulu".
.
Orang-orang Sungai dari Kinabatangan atau dari kawasan sekitar Sugut adalah yang rapat dengan Kaum Suluk ketika era Kesultanan Sulu lagi hingga boleh dikatakan 80% kaum tuanya hari ini boleh bertutur Bahasa Suluk dengan fasih. Kami melihat adalah satu keistimewaan bagi kaum Sungai di Sandakan itu kerana masih fasih bertutur Bahasa Suluk yang ditutur oleh orang-orang Tausug hingga kini. Hanyasanya orang-orang Sungai telah terpisah dengan orang-orang Tausug pada hari ini disebabkan gelaran "Orang Filipin" terhadap orang-orang yang datang dari Sulu itu (setelah Sabah menyertai Persekutuan Malaysia 1963). Persoalannya benarkah orang-orang Sulu itu Rakyat Filipina?
.
Gelaran
Sekiranya kita memanggil pendatang Rohingya (yang ramai di Kuala Lumpur) itu "Orang Myanmar" kita akan dapat melihat dahi mereka berkerut kerana tidak suka dipanggil "Orang Myanmar". Kita sendiri tahu tentera Myanmarlah yang melanyak dan membunuh orang-orang Islam Rohingya itu hingga mereka menjadi pelarian di Malaysia.
.
Sekiranya kita memanggil Orang Melayu Pattani (Selatan Thai) itu "Orang Thailand" kita akan melihat dahi mereka berkerut juga kerana tidak senang dipanggil "Orang Thailand" sebab sejak dulu mereka menganggap Orang Thailandlah (Kerajaan Siam, Thai) yang memencil dan menganaktirikan mereka hanya disebabkan mereka bertutur Bahasa Jawi dan beragama Islam. Sebab itu hingga hari ini orang Melayu Pattani dan sekitarnya (kesemuanya keturunan Melayu Islam) berusaha membebaskan wilayah mereka dari kekuasaan Buddha Thai itu. Saban hari berlaku pembunuhan di Selatan Thai (samada dilakukan tentera Thai atau orang Pattani sendiri) itu memberi kefahaman kepada kita bahawa "mengapa orang Melayu Pattani itu tidak senang dipanggil orang Thai".
.
Maka adalah sama apa yang dirasai oleh pendatang dari Sulu itu di Sabah. Mereka tidak senang dipanggil "Orang Filipin" kerana mereka sendiri sebahagian besarnya memusuhi tentera Kerajaan Filipina. Mereka menggelar Kerajaan Filipina itu sebagai satru' yang bermaksud seteru. Seteru itu tentulah bermaksud sebagai lawan atau musuh sebab itu hingga hari ini wilayah Kepulauan Sulu itu masih berperang dengan Tentera Filipina.
.
Akuan
Dunia hari ini tidak mengetahui bahawa di Filipina, orang-orang Filipina sendiri tidak memanggil orang-orang Sulu atau Mindanao itu sebagai "Orang Filipina" kecuali dengan gelaran Moro. Istilah Moro yang dinisbahkan kepada Orang Islam Sulu khususnya menunjukkan keterpisahan. Sebab itu mengapa sistem Kad Pengenalan tidak diperkenalkan di Filipina berbanding di negara-negara Asean yang lain. Kerana dengan adanya Kad Pengenalan akan merumitkan lagi keadaan orang-orang Moro di Selatan yang enggan tunduk dan patuh kepada apa sahaja jenis peraturan yang dilihat menyusahkan mereka. Tidak lama dulu Presiden Gloria Macapagal Arroyo menyuarakan cadangannya meperkenalkan sistem Kad Pengenalan kepada rakyat Filipina untuk keselamatan seperti yang dilakukan oleh Malaysia, tetapi ditentang hebat oleh pembangkang dan ahli partinya sendiri. Mengapa? Sistem Kad Pengenalan itu sendiri akan menyerlahkan keterpisahan Moroland dengan Filipina kerana orang Moro itu memang mereka tahu bukan rakyat Filipina jadi bagaimana pula mengenakan Kad Pengenalan Filipina kepada orang Moro di Selatan itu? Hanyasanya orang-orang Sulu itu sekiranya keluar negara "terpaksa" menggunakan Passport Filipina sekalipun dalam hati mereka menyumpah seranah kerajaan Filipina. Sesetengahnya menganggap "darurat" dan terpaksa juga menggunakan Passport Filipina kerana keluar negara menuntut ilmu atau bekerja di Timur Tengah.
.
Mari kita lihat apa kata orang-orang Filipina sendiri terhadap rakyat Sulu dan Mindanao. (Prof.) Datu Emmanuel D. Mangubat telah menulis dalam akhbar Zamboanga Today:
.
"Remember, Mindanao and Sulu were never parts of the Philipines. These territories have their own government ruled by a sultan".[2]
.
Beliau menulis lagi:
.
"Former Gov. Nur Misuari, MNLF Chairman, at the height of his MNLF war was correct when he said he is not a Filipino. What his nationality then? Since Sulu Archipelago until today that is owned the Royal Sultanate of Sulu and North Borneo remains an independent and sovereign state because this ancient kingdom was not abolished by any law of treaty, and their sultan did not abdicate their throne,…".[3]
.
Di dalam perenggan seterusnya beliau menyatakan kekesalan terhadap para "penyamar" Sultan Sulu yang mengaku Filipinos (Rakyat Filipina):
.
"One of the pretenders of Sulu Sultanate called for unity in the face of our political instability saying we are all Filipinos perhaps because Sulu and Mindanao are now parts of the Republic of the Philipines. But the other pretenders to the throne are now working to get back Sabah and restore their lost kingdom. Will he still consider himself a Filipino? A pretender to the throne of Sulu Sultanate who called for unity because "we are all Filipinos" must have forgotten that a Filipino is a colonized people while the Muslims are not".[4]
.
Seterusnya beliau menegaskan bahawa orang Islam dan Kesultanannya di Selatan Filipina itu bukanlah rakyat Filipina:
.
"Here comes a pretender to the throne of Sulu Sultanate who called for unity because "we are Filipinos?" A head of state of the sultanate is a Filipino? Does he know the nationality of his sultanate? Definitely he is not a Filipino citizen…… If they want independence definitely they cannot call themselves Muslim Filipinos. The answer to the question: Are adherents of Sulu Sultanate Filipinos, is NO".[5]
.
Setelah kita melihat penerangan Prof. Datu Emmanuel D. Mangubat tadi adalah jelas orang Moro itu samada dari Sulu atau dari Mindanao bukanlah rakyat Filipina maka bagaimana pula kita (rakyat Malaysia) mengatakan yang mereka itu "Orang Filipin?" Apa yang benar ialah mereka itu adalah Orang Sulu.
.
Momokan
Orang-orang Sulu di Sabah sekalipun mereka dipanggil "Orang Filipin" oleh rakyat tempatan Sabah atau sekalipun mereka tidak senang dengan panggilan itu tetapi mereka lebih suka mendengar masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja. Bagi mereka keutamaan ialah cari makan berbanding mengambil reaksi dari panggilan "Orang Filipin" itu. Sebab itu selagi mereka tidak menghadapi ancaman yang tidak munasabah maka mereka sentiasa mengekalkan keamanan ditempat mereka berlindung seperti di Sabah itu.
.
Seorang penulis bernama G. James (berkemungkinan dari Sabah) menulis sebuah artikel dalam akhbar internet (Malaysia Today - bertarikh 27hb Oktober 2004). Beliau secara panjang lebar menjelaskan bagaimana Kerajaan Filipina itu tidak layak menuntut Sabah kemudian beliau menyentuh tentang "pendatang dari Filipina" itu.
.
"Dengan tidak mengendahkan kenyataan ini, kerajaan Filipina berkeras untuk meneruskan tuntutannya ke atas kedaulatan Sabah. Dua buku telah diterbitkan berkaitan tuntutan itu, satu dalam tahun 1961 dan satu lagi dalam tahun 1967, menjelaskan asas-asas perundangan dan sejarah tentang tuntutannya ke atas Sabah; tetapi kandungan buku-buku tersebut telah disangkal oleh kerajaan Malaysia pada satu mesyuarat di Bangkok pada bulan Jun-Julai 1968, yang memalukan rakan sejawatan mereka dari Filipina".
.
Dalam hal ini kami berpandangan bahawa Kerajaan Filipina memang patut malu kerana sejak azali mereka tiada hak ke atas Sabah dan wilayah Sulu. Beliau menyatakan lagi:
.
"Beribu-ribu rakyat mereka telah membanjiri pesisiran pantai Sabah. Pemberontakan di selatan negara mereka juga dijadikan penyebab bagi rakyat mereka meninggalkan negara mereka, dan masalah bagi kita adalah PBB telah memberikan status pelarian kepada sebahagian daripada mereka. Ketika ini jumlah mereka mungkin pada kadar satu nisbah satu kepada penduduk tempatan".
.
Kenyataan di atas jelas melabel orang Sulu yang lari dari Filipina disebabkan peperangan itu sebagai rakyat Filipina serta kerisauannya terhadap status Pelarian yang diberi PBB itu. Selanjutnya beliau menulis:
.
"Mengulas tuntutan Filipina ke atas Sabah, tiada peringatan yang lebih memilukan untuk kita fikirkan apabila ahli Sejarah Dr James Ongkili menulis di dalam bukunya Modernisation in East Malaysia 1960-1970:
.
'... Filipina telah membelasah kuda mati dan Malaysia pula terlalu teragak-agak untuk menguburkan bangkainya, sementara Sabah terpaksa menghidu bau busuknya'.
.
Kenyataan terakhir ini beliau petik dari tulisan Dr. James Ongkili dengan bahasa berlapik tetapi jelas maksudnya adalah ditujukan kepada pelarian dari Sulu. Ia satu sindiran tajam kepada Kerajaan Malaysia kerana ramainya pelarian mahupun pendatang yang datang ke Sabah. Jika kita perhatikan kenyataan Dr. James Ongkili ini rakyat Sulu yang sememangnya sudah "kuda mati" itu dibelasah lagi oleh Filipina menunjukkan keadaan yang menyedihkan terhadap orang-orang Sulu iaitu diperangi oleh Filipina sehingga menjadi pelarian, melarat dan terbiar. Malaysia pula "teragak-agak" menguburkan bangkainya ini tidaklah menghairankan kerana kerajaan Malaysia sendiri adalah seagama dengan orang-orang Moro Sulu itu yang tentunya bersimpati dengan nasib mereka. Memang sepatutnya orang Islam membantu saudara seagamanya. Ataupun Malaysia mengambil kira faktor sejarah Kesultanan Sulu keatas Sabah. Akhir sekali kita turut bersimpati kepada Dr. James Ongkili dan rakyat Sabah keseluruhannya kerana "terpaksa menghidu bau busuknya". Perkara seperti ini tidak sepatutnya jadi momokan yang boleh mencetuskan huru-hara dan ketidak stabilan di Sabah. Ambil sikap berlapang dada dan berhemah kerana sebarang tindakan melampau tentunya akan menghasilkan tindak balas yang melampau yang akhirnya merugikan semua pihak.
.
Sekiranya kita mengikuti perkembangan laporan dari akhbar-akhbar semasa, perkataan seperti di atas adalah amat biasa kita dengar dan baca malah semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Keadaan seperti ini menuntut kesabaran yang tinggi daripada orang-orang Sulu itu lagi pun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana menyedari kedudukan mereka sebagai "pendatang" yang datang ke Sabah. Mereka tidak akan mampu membalas atau menjelaskan keadaan mereka yang dipandang negatif itu disebabkan sebahagian besar generasi baru pendatang Sulu yang lahir di Sabah adalah buta huruf kerana tidak berkemampuan atau berkelayakan (tiada pass perjalanan sah) untuk keluarga mereka menghantarnya ke sekolah kerajaan apatah lagi sekolah swasta.[6]


Nota kaki:

[1] Bahasa Suluk dipanggil Bahasa Sug oleh orang Tausug yang membawa maksud bahasa orang-orang Sulu.
[2] Zamboanga Today, Thursday, June 22, 2006, m.s. 11.- Datu Emmanuel D. Mangubat (Bato-Bato Sa Langit).
[3] Ibid, perenggan 3.
[4] Ibid, perenggan 5.
[5] Ibid, perenggan 6.
[6] Bermula akhir tahun 2005, waris Kesultanan Sulu dari keluarga Maharaja Adinda yang berada di Malaysia membuat satu program pendidikan di seluruh perkampungan orang-orang Sulu diseluruh Sabah terutamanya di sekitar Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan beberapa tempat di Kudat dengan bantuan para ustaz dan tuan-tuan guru dari semenanjung Malaysia. Program pendidikan ini termasuklah memberi ceramah agama (untuk mengurangkan penagihan dadah dikalangan muda-mudi Sulu di Sabah) dan membuka sekolah-sekolah sementara di rumah-rumah setinggan untuk anak-anak yang tak mampu dihantar kesekolah. Alhamdulillah program ini masih berjalan hingga hari ini (2007) sekalipun tanpa bantuan sesiapa. Yang mengapalai program dakwah ini ialah Tuan Guru Hj Abdul Halim Abas Kedah yang masuk kampung keluar kampung 'follow-up' para muallaf di Sabah dan berceramah di perkampungan setinggan orang-orang Sulu. Turut memberi pengajian berkala (sebulan sekali turun ke Sabah) ialah Syeikh Lokeman An-Naqshabandi Al-Ghazali serta beberapa orang ustaz-ustaz dari Jamaah PAS Kedah serta para Jamaah Tabligh yang istiqamah.

No comments:

Post a Comment