Monday, March 9, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Eksklusif ! Surat Terbuka

Ucapan YM Datu Lajamura Bin Datu Wasik

Bismillahirrahmanirrahim,
PERTAMA : Kita kena kembali semula kepada sejarah. Mengapa kita perlu melihat sejarah? Kerana sejarah akan memberitahu kita segala-galanya di mana ia bermula. Kerana setiap peristiwa akan menjadi sejarah. Setiap yang terjadi akan tercatat sebagai sejarah. Sebab itu masalah dan kemelut hari ini perlu dilihat kepada sejarahnya dimana ia bermula. Setiap yang bermula pasti akan berakhir, inilah hukum alam atau sunnatullah. Dan kami berkeyakinan masaalan ini akan berakhir jua. Hujan ribut yang bermula semalam pastinya akan berhenti juga samada esok atau lusa. Hujan bom di negara asal kami (SULU) pastinya akan berakhir jua tetapi bagaimana? Dengan kembali melihat sejarah sebagai kompas.
.
Malaysia telah berusaha menganjurkan perdamaian (bersama OIC) antara Filipina dan pejuang MNLF atau MILF (Tidak termasuk Abu Sayyaf kerana di anggap pengganas) dengan harapan Selatan Filipina akan kembali aman maka masalah pelarian dan pendatang di Sabah akan dapat diselesaikan dalam masa yang sama umat Islam Moro di Selatan Filipina akan berkembang maju dan stabil. Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas usaha dan keprihatinan kerajaan Malaysia, alhamdulillah. Persoalannya apakah kandungan yang menjadi isu dalam perdamian itu? Jawapannya tentu terserah kepada hasil muafakat atau persetujuan antara dua pihak iaitu Filipina dan Pejuang Islam? Malaysia sebagai penganjur bersama OIC tidak akan campur tangan hanya berkecuali kerana hanya pemerhati proses damai? Ya itulah jawapannya maka kita akan lihat proses damai hanya tinggal nama dan membuang masa kerana tidak melihat kepada permasaalahan utama.

Bukankah masaalah utama ialah orang Islam Moro itu mahu merdeka dari kerajaan Filipina? Maha suci Allah, sungguh kita telah berjaya diperbodohkan oleh kuffar selama ini. Tahukah tuan-tuan Filipina tidak akan melepaskan Sulu (atau Mindanao) itu kepada pejuang hingga kiamat sekiranya kita (Pejuang Islam) menuntut kemerdekaan? Mengapa? Kerana Sulu itu memang tidak dijajah dan sememangnya merdeka sejak zaman sebelum Spanyol hingga kini jadi bagaimana kita pandai-pandai mahu memerdekakan Sulu atau Moroland itu pula? Isu Kemerdekaan tidaklah timbul. Sebab itu kita perlu melihat sejarah sebagai cermin permasaalahan ini.
.
Kerajaan Filipina telah buat perjanjian dengan Kesultanan Sulu dahulu untuk menjaga dan membangunkan Sulu itu (bukan dijajah) tetapi perjanjian itu telah terbatal setelah Presiden Fedinand Marcos melanyak orang Islam Sulu dengan membunuh berpuluh ribu muslimin. Perjanjian Sultan Sulu dan Kerajaan Filipina (perjanjian Carpenter 1915 dan perjanjian selepasnya) telah terbatal dengan sendirinya setelah apa yang dilakukan oleh Ferdinand Marcos itu. Apakah anda tahu mengapa Ferdinand Marcos melancarkan peperangan itu? Sekiranya anda tahu siapa Ferdinand Marcos itu sebenarnya maka anda dengan sendirinya memahami kedudukan sebenar orang-orang Sulu itu. Sebab itu kami katakan perlu kembali kepada sejarah.
.
Sulu atau Moroland itu hanya ibarat "Sebuah kapal yang berlabuh di jeti Filipina". Pemilik kapal ialah kesultanan Sulu. Sultan Sulu punya panji atau benderanya sendiri yang dikenali oleh kerajaan Filipina itu (lihat panji di muka hadapan). Oleh sebab itu sesiapa yang datang mahu mengeluarkan Sulu itu dari tangan Filipina dengan membawa panji lain selain panji Sultan Sulu maka kerajaan Filipina akan memeranginya. Buktinya sekiranya anda mempunyai bendera sulu itu dan memacak di tepi rumah anda tiada sesiapa yang akan ganggu anda sekalipun askar Filipina lalu-lalang di situ. Tapi akan berlaku sebaliknya (ditangkap atau dibunuh) sekiranya anda menegakkan bendera selain bendera sulu itu kerana dianggap menentang Kesultanan Sulu yang mana kerajaannya telah diamanahkan kepada kerajaan Filipina sebagai penjaga. (Lihat penjelasan kami terhadap isu ini di bab yang lebih khusus)
.
KEDUA : Seperti yang dimaklumkan kepada rombongan kami oleh Pehin Seri Maharaja Dato Seri Utama Prof. Hj. Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (Ahli Majlis Mesyuarat Diraja & Pengetua Pusat Sejarah, Negara Brunei Darussalam) ketika kami datang berjumpa beliau di pejabatnya di Brunei Darussalam bahawa tiada lagi waris kesultanan Sulu yang tinggal yang boleh menuntut hak kesultanan Sulu kecuali Keluarga Maharaja Adinda Aranan. Tetapi dengan syarat mesti berusaha terlebih dahulu mempersatuka umat Islam Sulu keseluruhannya, mengejutkan mereka dari lamunan peperangan yang didalangi kuffar agar meletak senjata dan bersatu menegakkan bendera Sulu. Kerana kapal yang dilabuh di jeti Filipina itu mesti dibawa keluar oleh nakhoda yang benar dan ikhlas. Dan sekarang Keluarga Maharaja Adinda waris Raja Kedua mesti tampil menyelamatkan ummat yang nasib mereka hanya diperjudikan oleh peperangan terancang oleh pihak tertentu. Pehin Prof. Hj. Awang Mohd. Jamil Al-Sufri mengingatkan kepada kami bagaimana Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei adalah bersaudara. Sejak itu kami telah mengetahui mengapa peperangan Moro yang dilakukan oleh Presiden Ferdinand Marcos pada tahun 1972 itu sebenarnya "Ada udang disebalik batu".
.
Dan kami mula sedar peperangan itu telah memporak-perandakan perpaduan dan kestabilan Negara Sulu, kesultanan dan rakyatnya agar menjadi pelarian dan melarat. Dengan itu masyarakat Moro Sulu akan hanya menumpukan perhatian kepada perang yang sengaja dirancang itu agar tidak dapat pembangunan, pendidikan anak-anak dan terus menjadi bodoh selama-lamanya. Mereka sangat mengharap setelah orang Moro Sulu menjadi pelarian dan anak-anak menjadi buta huruf (sebab tidak mampu menghantar kesekolah) serta bapa-bapa mereka hanya sibuk berperang (perang jihad?) akhirnya Sulu tidak akan tertuntut kepada pemiliknya yang asal. Apakah kita masih tidak menyedari "Divide & Conquer" mereka? Maka kerja keras kami hari ini ialah mempersatukan sokongan rakyat Sulu dan kami para datu-datu Diraja Sulu akan tampil memikul amanah Allah dan RasulNya (untuk menegak Kalimah Allah kembali ke Sulu) dengan bantuan tuan-tuan guru yang menuntun kami agar dapat mengembalikan semula kedaulatan Kesultanan Sulu.

Sekiranya peperangan 1972 itu tidak disahut oleh Prof. Nur Misuari (MNLF) tentu rakyat Sulu hari ini tidak menjadi peminta-minta (Pelarian). Apakan daya telah pun berlaku peperangan itu malah hingga hari ini masih berlangsung. Ia ketentuan Ilahi yang tentunya punya hikmah. Jangan dikesali perkara yang dah berlalu tetapi kita merungkai dan mengambil hikmahnya sebagai pemangkin semangat meneruskan perjuangan. Perjuangan dalam bentuk baru iaitu kebangkitan rakyat menuntut hak nenek moyang mereka dengan mengembalikan kedudukan Kesultanan Sulu ketempatnya.
.
Sekiranya menjadi kenyataan hak nenek moyang rakyat Sulu diperakui dengan meletak Kesultanannya semula (berdaulat) maka rakyat Sulu akan berbondong-bondong kembali ke Negara Asal Mereka. Tidak perlu lagi menghambat mereka hari-hari untuk 'dilokapkan' dan dirotan kerana mereka akan kembali sendiri membina negara mereka Sulu. Tidak perlu lagi ahli politik menimbulkan isu IC palsu atau IC projek yang ditimpakan keatas rakyat Sulu itu yang sememangnya orang-orang Sulu tahu "mereka hanya jadi mangsa Politik"? Orang-orang Sulu bukan pendendam tapi akan tidak melupakan 'Pahit Manis' ketika menjadi pelarian di negara orang.

Apa yang kami harapkan ialah Malaysia dapat membantu kami demi keamanan dan kesejahteraan. Agar Malaysia memainkan peranan lebih aktif untuk kedamaian antara Filipina dengan Selatannya dengan membetulkan halatuju perjanjian damai itu. Selagi yang berhak masih tidak diberi haknya maka selagi itulah "Juru Damai" akan buntu malah akan menjadi hairan mengapa kedamaian tetap juga tidak tercapai. Kedamaian menjadi gagal kenapa? Kerana tidak melihat sejarah. Di Malaysia, apabila kaum-kaum lain (selain Melayu) meminta hak yang lebih dari yang ditetapkan oleh "Perjanjian Sosial" yang dipersetujui bersama sebelum ini, apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikannya? Rujuk semula sejarah dimana ia bermula, sejarah tidak akan berdusta melainkan mendedahkan kedustaan 'si pemutarbelit sejarah'.
.
Kami hanya melihat Negara Malaysia sahaja yang akan dapat membantu kami (dengan sokongan Badan Dunia dan OIC) disebabkan Malaysia sendiri adalah sebahagian dari "Sejarah Perang Moro MARCOS lawan MNLF" dahulu dan sebagai "Penerima Tunggal Pelarian Sulu". Kami percaya Malaysia akan dapat mencapai kata putus untuk Kedamaian sebagai "Juru Damai". Setelah itu Kerajaan Malaysia membantu kami memajukan ekonomi dan apa sahaja jenis bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Sulu dan rakyat Malaysia.
.
Dalam masa yang sama Filipina sebagai "Negara Jiran" dan sahabat, akan terus manjalin kerjasama dengan Sulu. Tidak ada dendam dan sengketa. Filipina akan kembali kaya raya disebabkan tidak perlu lagi berhabis jutaan dollar malah berbillion dollar setahun untuk membiayai peperangan di Selatan. Kerana selama Filipina memerangi Selatan untun tunduk kepada kekusaannya, Filipina telah berjaya memiskinkan negaranya hinggakan wujud Bandaraya Sampah di Manila lantaran rakyatnya yang terlalu miskin maka apakah lagi yang boleh diharapkan dari Filipina untuk membangunkan Selatan?
.
Kami menyeru kepada umat Islam keseluruhannya agar membantu kami kerana tanpa bantuan anda menyelamatkan umat Islam Sulu ini maka kehancuran demi kehancuran akan bakal menunggu kita (kerana pendatang Sulu semakin ramai di Sabah). Sekiranya umat Islam tetap membiarkan kami maka kami hanya mampu mengatakan, "La hawla wala quwata illa billahil aliyyil 'azim" dan cukuplah Allah sebagai pembantu kami "Wa hasbunallaha wani'mal wakil".
Wassalam

------------------------------------------------------------


Ulasan:
Demikianlah keterangan dua perkara oleh YM Datu Uda @ Lajamura bin YM Datu Wasik-Aranan. Beliau berpandangan bahawa bukanlah kemerdekaan yang dituntut itu (sebab Sulu sejak dulu memang merdeka kerana tidak pernah dijajah) tetapi mengembalikan semula kuasa Kesultanan Sulu yang telah hilang itu kepada Kesultanan Sulu. Kerana dengan demikian kerajaan Filipina akan terus menjadi sahabat baik kepada Kesultanan Sulu. Peperangan dan penjualan senjata kepada orang-orang Moro di selatan mestilah dihentikan oleh Filipina kerana umum mengetahui segala senjata dan peluru yang dimiliki oleh orang Sulu itu adalah datangnya dari tentera kerajaan Filipina juga (atau pun baki persenjataan perjuangan Moro yang lepas). Tindakan kerajaan Filipina berunding dengan pejuang Moro seperti MNLF dan MILF itu tidak akan menghasilkan apa-apa buktinya wilayah otonomi di selatan itu sendiri telah dianak tirikan tanpa dihirau oleh kerajaan Filipina sendiri kerana pentadbirnya Prof. Nur Misuari itu bukannya sultan yang boleh dijadikan simbol perpaduan orang-orang Sulu.
.
Maka dengan hanya mengembalikan kedamaian yang "sebenar" di Sulu akan dapat menyelesaikan masaalah pertambahan pelarian perang, pelarian politik mahupun pelarian ekonomi di Sabah. Damai yang bagaimana? Damai yang mana 'sejarah kesultanan Sulu' dijadikan kompas. Kerana rakyat Sulu memerangi Filipina tanpa "kompas" sejak sekian lama. Gambaran situasi di Sulu pada hari ini ialah:
.
Ia seperti seorang anak lelaki yang bergaduh dengan anak jiran, si anak tetap melawan walau tidak mampu akhirnya dibelasah teruk. Di mana si ayah yang sepatutnya dapat menghalang pergaduhan itu? Adakah salah si ayah atau si anak hinggakan si anak itu tadi lebam di belasah? Sekiranya si ayah berada di dalam rumah sepatutnya si anak memanggilnya keluar untuk memperbetulkan keadaan demi mengelak kemusnahan yang lebih teruk. Apa yang berlaku ialah si ayah dikuncikan pintu dari luar oleh si anak. Lalu meneruskan pergaduhan....
.
Inilah akibatnya apabila si anak tidak menyedari atau sengaja lupa akan kewujudan ayahnya sebagai penyelesai masaalah mereka. Begitulah Sultan Sulu dengan rakyatnya. MNLF, MILF, Abu Sayyaf dan kumpulan-kumpulan kecil yang lain melancarkan perang JIHAD? keatas kerajaan Filipina yang dianggap menindas dan merampas hak mereka, hak kumpulan mereka? atau hak umat Islam Moro keseluruhannya? kalau iya mengapa berpecah belah? Mereka berpecah belah dengan menubuhkan kumpulan masing-masing tanpa menghiraukan sumber perpaduan yang mengikat mereka sejak hampir 400 tahun sebelum ini.
.
Simbol yang menjadi pengikat mereka sehingga tidak terkalahkan selama hampir 400 tahun lamanya. Simbol yang menjadikan "Empayar Kesultanan Sulu" sebagai sejarah kegemilangan Umat Muahammad saw di Nusantara. Simbol yang menyebabkan Umat Moro dikenal di seluruh dunia sebagai umat Muahammad saw yang gagah berani rela mati demi agama dan bangsa serta tanah air tercinta. Wahai umat Islam Moro!! Lihatlah kebelakang dimana anda bermula!! Berdoa'alah kepada Tuhan yang Maha Kuasa agar kita semua dapat dipertemukan dengan pemimpin yang dapat menyatukan kita semua seperti zaman kegemilangan kita yang lalu!! Iaitu pemimpin yang diredhai dari sulbi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam para ahlul baitnya iaitu waris kesultanan Sulu yang sah. Begitulah do’a dalam tangisan orang-orang Sulu pada hari ini. Tangisan yang tidak mampu lagi melehkan air mata.

Wallahu a'lam.

Saturday, March 7, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Masalah Pelarian Sulu di Sabah

Sabah Menjadi Tumpuan Orang-orang Dari Sulu Disebabkan Kemakmurannya

BANTUAN
Walaupun bangsa Tausug dikenali sebagai ganas dan bahaya namun mereka punya sejarah pembelaan terhadap bangsa-bangsa lain yang tidak dapat dilupakan. Walaupun bangsa Tausug ini dikenal sebagai 'pakar menculik' dan 'pakar menyeludup' namun mereka masih mempertahankan maruah diri mereka di tengah-tengah letupan bom peperangan yang mereka hadapi sejak sekian lama. Sifat dan gaya hidup mereka telah berevolusi mengikut keadaan mereka yang terdesak mencari sesuap nasi.
.
Mereka tidak mengharap lagi bantuan dari sesiapa setelah mereka menadah tangan kesana-kemari kepada dunia Islam (meminta bantuan selesaikan krisis perang dan ekonomi) sehingga mereka berasakan diri mereka dianggap seperti meminta sedekah pula. Maka hidup dalam kemelaratan terpaksa diteruskan, sedangkan ulat boleh hidup dalam batu inikan pula orang-orang Sulu. Cukuplah Allah s.w.t sebagai pembantu kami, begitulah kata hati orang Sulu keseluruhannya.

Sesetengah umat Islam menyoal "Kami telah bantu anda dengan pelbagai jenis bantuan termasuk menyelesaikan peperangan dengan menganjur perdamaian. Tetapi kalian (orang Sulu) seperti tidak berminat dengan segala bantuan itu melainkan berterusan menentang kerajaan Filipina. Kamu semua sebenarnya hendak apa?". Rupanya orang-orang Sulu ini punya seribu satu jawapan terhadap persoalan di atas. kita akan tahu sendiri jawapannya sekiranya kita sendiri berada di Sulu.
.
PERDAMAIAN
Kami berpandangan bahawa perdamaian yang dianjurkan oleh pihak ketiga untuk menyelesaikan krisis di Selatan Filipina tidak akan selesai hingga kiamat sekiranya masih menggunakan format perdamian seperti yang ada sekarang. Akibatnya peperangan akan terus berlarutan. Kesempitan hidup semakin meruncing di Sulu (Selatan Filipina). Undang-undang rimba akan mengambil alih (memang pun dah berlaku sejak sekian lama) yang banyak senjata dan pengikut adalah yang paling berkuasa. Maka penduduk yang tiada apa-apa akan berhijrah selamatkan diri sekalipun menghadapi pelbagai risiko (berhijrah ke Sabah).
.
Maka, kita akan lihat semakin ramai rakyat Sulu berhijrah ke Sabah mencari sesuap nasi. Mereka bertambah ramai dari hari ke sehari. Kemasukan tidak akan dapat dikawal kerana keluasan perairan Laut Sulu yang turut dikongsi oleh pantai timur Sabah. Maka hasilnya semakin banyak terbinanya rumah-rumah setinggan di seluruh Sabah. Bertambahnya krisis kemanusiaan dikalangan penduduk setinggan dengan bertambahnya kadar buta huruf di kalangan pendatang seiring dengan bertambahnya kadar kelahiran. Penduduk tempatan semakin rimas dengan kehadiran pendatang Sulu yang begitu ramai.
.
Peluang pekerjaan bagi masyarakat tempatan Sabah akan semakin rumit kerana pendatang Sulu sanggup mengambil gaji yang rendah sekalipun dengan hanya RM 250 sebulan sesetengahnya sanggup dibayar RM 150 sebulan sebagai permulaan. Peniaga Cina di Sabah lebih berminat mengambil pekerja pendatang Sulu kerana tidak perlu membayar gaji mahal dan APF. Sebab itu jangan hairan mengapa ribuan muda-mudi tempatan Sabah hijrah ke Semenanjung dan rela pula bekerja di kilang-kilang sekurang-kurangnya mendapat gaji lebih tinggi berbanding di Sabah.
.
PELARIAN
Kerajaan Malaysia melalui Polis Diraja Malaysia (operasi bersama JPN dan Jbtn Imegresen) membuat tangkapan setiap hari di seluruh Sabah dan menghimpunkan mereka di satu tempat beberapa bulan sementara menunggu masa menghantar mereka semula "pulang" ke negara asal mereka "Filipina?". Kos kerajaan Malaysia untuk buat tangkapan sehari-hari tentunya memakan belanja yang bukan sedikit dan memberi makan minum pula ketika dalam tahanan sementara juga menelan belanja jutaan ringgit sejak puluhan tahun lamanya. Bagi pendatang Sulu, tangkapan hari-hari dan road-block (checking) oleh Polis Diraja Malaysia adalah risiko yang dimaklumi oleh pendatang Sulu ini sekiranya datang ke Sabah untuk mencari "makan". Bagi mereka apalah salahnya ditangkap sekiranya masih diberi makan juga dalam tahanan sekurang-kurangnya dapat makan 'Free'.
.
Bagi pendatang Sulu yang tahu sejarah Sabah (Kesultanan Sulu punya yang dipajak oleh syarikat British) mereka tidaklah gentar sangat walaupun sebenarnya lari lintang pukang juga sekiranya terlihat Polis membuat rondaan. Kebanyakan kes, pendatang Sulu yang ditangkap dan dihantar pulang semula ke Sulu akan kembali semula ke Sabah seminggu kemudian. Sesetengahnya dihantar hari ini, esok mukanya kelihatan lagi berjalan-jalan selamba dengan meneruskan aktiviti harian. Itulah pendatang Sulu. Ulat dalam batu pun boleh hidup inikan pula manusia cekal seperti orang Sulu itu.
.
MASALAH BESAR
Akhirnya masalah yang besar pun timbul. Pendatang yang ingin dihantar pulang ke Filipina tidak diterima oleh Kerajaan Filipina kerana sebilangan besar pendatang tersebut tiada dokumen yang menunjukkan mereka adalah rakyat Filipina. Baru-baru ini Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyuarakan ketidak puasan hatinya terhadap kerajaan Filipina yang lambat memberi jawapan menerima rakyatnya yang bersedia dihantar ke Filipina itu.
.
Kerana semakin lama dalam tahanan maka semakin banyaklah kos perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan "menyara" pendatang Sulu yang dikurung itu. Kenapa jadi demikian? Kenapa kerajaan Filipina tidak menerima? Sebab tiada dokumen yang menunjukkan mereka Rakyat Filipina? Bagaimana pula kerajaan Filipina mahu menerima rakyat Sulu sebagai rakyatnya sedangkan:
.
Pertama: Tiada dokumen menunjukkan mereka rakyat Filipina,
.
Kedua: Sekiranya mereka memang Rakyat Sulu tentunya mereka adalah 'pengganas' (MNLF, MILF, Abu Sayyaf) yang memang sejak sekian lama memerangi kerajaan Filipina,
.
Ketiga: Rakyat Sulu memang bukan rakyat Filipina pun sebab Sulu itu bukannya hak mutlak Kerajaan Filipina melainkan hak Kesultanan Sulu yang hanya membuat perjanjian ekonomi dengan Kerajaan Filipina untuk membawa pembangunan ke Sulu. Apa yang berlaku bukan sahaja Kerajaan Filipina gagal membawa pembangunan malah berterusan membunuh ratusan malah ribuan rakyat Sulu saban tahun atas nama "Memerangi Keganasan". Kalau tidak masakan rakyat Sulu itu berbondong-bondong lari ke Sabah?.
.
Apakah kerajaan Malaysia masih tidak tahu akan masaalah ini? Sekiranya tahu tapi tidak mahu cari penyelesaian dari bawah maka dikhuatirkan masaalah ini akan menjadi semakin rumit dan kusut.
.
MASALAH YANG LEBIH BESAR
Perkara ini tidak disedari oleh Rakyat Malaysia terutamanya para ahli politik yang berkuasa menggubal undang-undang di parlimen. Iaitu undang-undang 'merotan' pendatang asing yang ditangkap tanpa dokumen (perjalanan) sah. Bilakah undang-undang ini digubal dan dijadikan sebahagian akta imegresen? Ia sebenarnya bermula di semenangjung Malaysia beberapa tahun lalu (2004) setelah berlakunya kes rusuhan pekerja Indonesia di sebuah asrama kilang di Nilai, Negeri Sembilan yang melibatkan anggota Polis kerana didapati majoriti perusuh adalah pendatang asing yang tiada dokumen perjalanan mahupun permit kerja yang sah. Perkara ini (rusuhan) menaikkan kemarahan rakyat Malaysia maka ahli politik telah menambah atau menggubal undang-undang rotan (minima 6 kali) terhadap rakyat asing yang tiada dokumen sah perjalanan.
.
Maka ia telah pun berkuatkuasa di seluruh Malaysia hari ini. Kebaikan dari undang-undang rotan ini ialah pendatang asing yang masuk tanpa dokumen perjalanan sah kiranya tertangkap akan dirotan hingga 6 kali setelah itu akan dihantar pulang ke negara asal mereka nescaya mereka tak akan datang semula tanpa pas perjalanan yang sah lagi. Itulah kebaikan besar dari hasil perlaksanaan undang-undang rotan itu.
.
Tetapi dalam konteks pendatang Sulu di Sabah pula bagaimana? Maka jawapannya ialah hukuman rotan tetap dijalankan. Hasilnya hanya beberapa tahun kerajaan Malaysia mungkin berjaya merotan ribuan pendatang Sulu yang sememangnya tiada pas perjalanan sah itu. Kami telah dihubungi oleh seorang bekas anggota MNLF (sekarang tinggal di Sabah sejak 1975) yang bekerja kontrak (Buruh binaan) menceritakan pengalaman beliau ditangkap dan dirotan disebabkan kekeliruan kad pengenalannya yang hilang yang mana beliau hanya memegang resit kehilangan kad pengenalan hilang itu sejak kira-kira 10 tahun hingga kini. Katanya dengan hanya satu pukulan rotan punggungnya berdarah dan tidak boleh duduk selama seminggu hinggakan beliau bersolat dengan keadaan meniarap dan kadang-kadang berdiri, bayangkan kalau 6 pukulan rotan?. Beliau dengan terketar-ketar (menahan marah) menceritakan perkara ini pada kami. Sebenarnya ini adalah satu berita buruk yang menambah parahkan lagi keadaan.
.
Harap kerajaan Malaysia menangani perkara ini atas dasar persaudaraan seagama dan melihat sejarah semula. Kerana perkara rotan ini bukannya penyelesai masaalah, malah menambah masaalah dengan merotan ribuan orang Sulu setiap tahun bermakna ribuan bakal 'musuh' akan terhasil?. Kerana kami percaya 5 dari 10 orang yang dirotan itu adalah biasa memegang senjata malah sebahagian besarnya adalah bekas anggota Mujahidin MNLF. Anggota MNLF lebih 80% adalah penganut Islam yang taat dan istiqamah. Dan perlu juga dimaklumkan, bukan semua anggota MNLF yang berada di Sabah itu mendapat suaka politik (IMM13).
.
Yang menambah lagi kekusutan ialah beberapa orang ahli politik dari Sabah yang masuk dalam parti politik KEADILAN (pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Isterinya, Datin Wan Azizah) melancarkan satu gerakan mendesak kerajaan Malaysia mewujudkan Siasatan Diraja menyiasat IC palsu termasuk IC projek yang kononnya diberikan Kerajaan Malaysia (Era Dr. Mahathir) kepada orang-orang Sulu di Sabah. Dalam desakan itu, ahli politik dari Sabah dan pengikutnya menyeru agar membawa Dr Mahathir ke muka pengadilan. Sekiranya beliau bersalah maka IC projek yang ada di tangan pendatang Filipina (Sulu) itu dirampas dan menghalau mereka semula ke Filipina. Kita maklum tentang hal ini (tuntutan mereka) dan kita serahkan kepada kerajaan Malaysia menanganinya. Kami menyeru kepada mana-mana pihak agar bersabar dan jangan gopoh membuat tuntutan seperti ini (mewujudkan siasatan Diraja) kerana dikhuatiri ia didalangi oleh pihak yang benci kepada Islam.
.
Kita juga maklum, pihak yang menuntut siasatan itu (kaum dan agama anutannya) telah menjadi minoriti ketika ini. Umat Islam di Sabah hari ini membentuk lebih 71% berbanding yang lain dan inilah kenyataannya. Dengan menghalau masyarakat Sulu di Sabah kembali ke Filipina (termasuk orang Islam kaum Bugis dari Sulawesi yang banyak berjasa kepada Sabah dengan bekerja di ladang-ladang kelapa sawit) maka orang Islam akan menjadi minoriti semula di Sabah. Jelasnya adalah disebabkan tujuan politik dan sentimen agama yang mewarnai tuntutan siasatan diraja itu.
.
Adalah amat menyedihkan sekiranya ada umat Islam yang terlibat menyertai tuntutan itu. Walaubagaimana pun kami berkeyakinan bahawa parti pembangkang di Malaysia seperti Parti Pas Se-Malaysia dan Parti Keadilan tidak akan terlibat malah berlepas tangan terhadap desakan itu. Kecuali mereka yang terlalu terpengaruh tentang isu "pengundi hantu".
.
PENYELESAIAN (Hantar Semula Rakyat Sulu Ke Negara Asal Mereka?)
Persoalannya sampai bila Kerajaan Malaysia terutamanya Sabah menghadapi situasi seperti ini? Apakah cukup dengan melakukan tindakan rutin menangkap dan menghantar semula rakyat Sulu kembali ke Filipina? Percayalah ia tak akan selesai malah akan bertambah rumit dan sukar. Kami telah berbincang dengan sahabat-sahabat terutamanya dari Kerabat Maharaja Adinda Aranan sendiri bagaimana menangani situasi ini. Sebabnya mungkin kerajaan Malaysia tertunggu-tunggu cadangan atau pembetulan dari mana-mana pihak untuk menyelesaikan permasalahan pendatang Sulu ini agar tidak bertambah kusut dan rumit.
.
Mengikut YM Datu Uda @ Lajamura - Aranan, perkara ini (isu pendatang Sulu) tidak akan berlaku seperti hari ini sekiranya beberapa perkara diperbetulkan lebih awal. Walhal penyelesaiannya dapat dipermudahkan sekiranya kita menuruti kaedah penyelesaian ini secara hati terbuka dan atas dasar iman dan Islam itu sendiri. Maka kami menyimpulkan pandangan YM Datu Uda ini sebagai renungan kita bersama dalam masa yang sama kami berharap semoga pandangan beliau (YM Datu Uda) mendapat perhatian kerajaan Malaysia, insyaAllah.

Monday, March 2, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Rakyat Sulu (Moro) Bukan Rakyat Filipina

Adakah Penafian Orang-orang Sulu Bahawa Mereka Bukanlah Rakyat Filipina Itu Adalah Satu Gurauan?

DI SABAH, pendatang dari Sulu (Tausug, Sama@Bajao, Kalibugan, Yakan atau Kagayan) dipanggil "Orang Filipin" oleh penduduk tempatan Sabah. Ini tidaklah menghairankan sekiranya orang tempatan Sabah menggelar "Orang Filipin" kepada pendatang Sulu ini disebabkan anggapan yang mereka itu datang dari Filipina. Malangnya panggilan "Orang Filipin" akan turut memalit orang-orang Suluk yang sememangnya berada di Sabah sejak sebelum merdeka lagi. Sesetengah kes orang yang bertutur Bahasa Suluk[1] turut dicap juga sebagai "Orang Filipin". Apakah benar setiap yang bertutur Bahasa Suluk itu datang dari Filipina? Tentulah salah sekiranya kita sebut "datang dari Filipina" yang benar ialah "datang dari Sulu".
.
Orang-orang Sungai dari Kinabatangan atau dari kawasan sekitar Sugut adalah yang rapat dengan Kaum Suluk ketika era Kesultanan Sulu lagi hingga boleh dikatakan 80% kaum tuanya hari ini boleh bertutur Bahasa Suluk dengan fasih. Kami melihat adalah satu keistimewaan bagi kaum Sungai di Sandakan itu kerana masih fasih bertutur Bahasa Suluk yang ditutur oleh orang-orang Tausug hingga kini. Hanyasanya orang-orang Sungai telah terpisah dengan orang-orang Tausug pada hari ini disebabkan gelaran "Orang Filipin" terhadap orang-orang yang datang dari Sulu itu (setelah Sabah menyertai Persekutuan Malaysia 1963). Persoalannya benarkah orang-orang Sulu itu Rakyat Filipina?
.
Gelaran
Sekiranya kita memanggil pendatang Rohingya (yang ramai di Kuala Lumpur) itu "Orang Myanmar" kita akan dapat melihat dahi mereka berkerut kerana tidak suka dipanggil "Orang Myanmar". Kita sendiri tahu tentera Myanmarlah yang melanyak dan membunuh orang-orang Islam Rohingya itu hingga mereka menjadi pelarian di Malaysia.
.
Sekiranya kita memanggil Orang Melayu Pattani (Selatan Thai) itu "Orang Thailand" kita akan melihat dahi mereka berkerut juga kerana tidak senang dipanggil "Orang Thailand" sebab sejak dulu mereka menganggap Orang Thailandlah (Kerajaan Siam, Thai) yang memencil dan menganaktirikan mereka hanya disebabkan mereka bertutur Bahasa Jawi dan beragama Islam. Sebab itu hingga hari ini orang Melayu Pattani dan sekitarnya (kesemuanya keturunan Melayu Islam) berusaha membebaskan wilayah mereka dari kekuasaan Buddha Thai itu. Saban hari berlaku pembunuhan di Selatan Thai (samada dilakukan tentera Thai atau orang Pattani sendiri) itu memberi kefahaman kepada kita bahawa "mengapa orang Melayu Pattani itu tidak senang dipanggil orang Thai".
.
Maka adalah sama apa yang dirasai oleh pendatang dari Sulu itu di Sabah. Mereka tidak senang dipanggil "Orang Filipin" kerana mereka sendiri sebahagian besarnya memusuhi tentera Kerajaan Filipina. Mereka menggelar Kerajaan Filipina itu sebagai satru' yang bermaksud seteru. Seteru itu tentulah bermaksud sebagai lawan atau musuh sebab itu hingga hari ini wilayah Kepulauan Sulu itu masih berperang dengan Tentera Filipina.
.
Akuan
Dunia hari ini tidak mengetahui bahawa di Filipina, orang-orang Filipina sendiri tidak memanggil orang-orang Sulu atau Mindanao itu sebagai "Orang Filipina" kecuali dengan gelaran Moro. Istilah Moro yang dinisbahkan kepada Orang Islam Sulu khususnya menunjukkan keterpisahan. Sebab itu mengapa sistem Kad Pengenalan tidak diperkenalkan di Filipina berbanding di negara-negara Asean yang lain. Kerana dengan adanya Kad Pengenalan akan merumitkan lagi keadaan orang-orang Moro di Selatan yang enggan tunduk dan patuh kepada apa sahaja jenis peraturan yang dilihat menyusahkan mereka. Tidak lama dulu Presiden Gloria Macapagal Arroyo menyuarakan cadangannya meperkenalkan sistem Kad Pengenalan kepada rakyat Filipina untuk keselamatan seperti yang dilakukan oleh Malaysia, tetapi ditentang hebat oleh pembangkang dan ahli partinya sendiri. Mengapa? Sistem Kad Pengenalan itu sendiri akan menyerlahkan keterpisahan Moroland dengan Filipina kerana orang Moro itu memang mereka tahu bukan rakyat Filipina jadi bagaimana pula mengenakan Kad Pengenalan Filipina kepada orang Moro di Selatan itu? Hanyasanya orang-orang Sulu itu sekiranya keluar negara "terpaksa" menggunakan Passport Filipina sekalipun dalam hati mereka menyumpah seranah kerajaan Filipina. Sesetengahnya menganggap "darurat" dan terpaksa juga menggunakan Passport Filipina kerana keluar negara menuntut ilmu atau bekerja di Timur Tengah.
.
Mari kita lihat apa kata orang-orang Filipina sendiri terhadap rakyat Sulu dan Mindanao. (Prof.) Datu Emmanuel D. Mangubat telah menulis dalam akhbar Zamboanga Today:
.
"Remember, Mindanao and Sulu were never parts of the Philipines. These territories have their own government ruled by a sultan".[2]
.
Beliau menulis lagi:
.
"Former Gov. Nur Misuari, MNLF Chairman, at the height of his MNLF war was correct when he said he is not a Filipino. What his nationality then? Since Sulu Archipelago until today that is owned the Royal Sultanate of Sulu and North Borneo remains an independent and sovereign state because this ancient kingdom was not abolished by any law of treaty, and their sultan did not abdicate their throne,…".[3]
.
Di dalam perenggan seterusnya beliau menyatakan kekesalan terhadap para "penyamar" Sultan Sulu yang mengaku Filipinos (Rakyat Filipina):
.
"One of the pretenders of Sulu Sultanate called for unity in the face of our political instability saying we are all Filipinos perhaps because Sulu and Mindanao are now parts of the Republic of the Philipines. But the other pretenders to the throne are now working to get back Sabah and restore their lost kingdom. Will he still consider himself a Filipino? A pretender to the throne of Sulu Sultanate who called for unity because "we are all Filipinos" must have forgotten that a Filipino is a colonized people while the Muslims are not".[4]
.
Seterusnya beliau menegaskan bahawa orang Islam dan Kesultanannya di Selatan Filipina itu bukanlah rakyat Filipina:
.
"Here comes a pretender to the throne of Sulu Sultanate who called for unity because "we are Filipinos?" A head of state of the sultanate is a Filipino? Does he know the nationality of his sultanate? Definitely he is not a Filipino citizen…… If they want independence definitely they cannot call themselves Muslim Filipinos. The answer to the question: Are adherents of Sulu Sultanate Filipinos, is NO".[5]
.
Setelah kita melihat penerangan Prof. Datu Emmanuel D. Mangubat tadi adalah jelas orang Moro itu samada dari Sulu atau dari Mindanao bukanlah rakyat Filipina maka bagaimana pula kita (rakyat Malaysia) mengatakan yang mereka itu "Orang Filipin?" Apa yang benar ialah mereka itu adalah Orang Sulu.
.
Momokan
Orang-orang Sulu di Sabah sekalipun mereka dipanggil "Orang Filipin" oleh rakyat tempatan Sabah atau sekalipun mereka tidak senang dengan panggilan itu tetapi mereka lebih suka mendengar masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja. Bagi mereka keutamaan ialah cari makan berbanding mengambil reaksi dari panggilan "Orang Filipin" itu. Sebab itu selagi mereka tidak menghadapi ancaman yang tidak munasabah maka mereka sentiasa mengekalkan keamanan ditempat mereka berlindung seperti di Sabah itu.
.
Seorang penulis bernama G. James (berkemungkinan dari Sabah) menulis sebuah artikel dalam akhbar internet (Malaysia Today - bertarikh 27hb Oktober 2004). Beliau secara panjang lebar menjelaskan bagaimana Kerajaan Filipina itu tidak layak menuntut Sabah kemudian beliau menyentuh tentang "pendatang dari Filipina" itu.
.
"Dengan tidak mengendahkan kenyataan ini, kerajaan Filipina berkeras untuk meneruskan tuntutannya ke atas kedaulatan Sabah. Dua buku telah diterbitkan berkaitan tuntutan itu, satu dalam tahun 1961 dan satu lagi dalam tahun 1967, menjelaskan asas-asas perundangan dan sejarah tentang tuntutannya ke atas Sabah; tetapi kandungan buku-buku tersebut telah disangkal oleh kerajaan Malaysia pada satu mesyuarat di Bangkok pada bulan Jun-Julai 1968, yang memalukan rakan sejawatan mereka dari Filipina".
.
Dalam hal ini kami berpandangan bahawa Kerajaan Filipina memang patut malu kerana sejak azali mereka tiada hak ke atas Sabah dan wilayah Sulu. Beliau menyatakan lagi:
.
"Beribu-ribu rakyat mereka telah membanjiri pesisiran pantai Sabah. Pemberontakan di selatan negara mereka juga dijadikan penyebab bagi rakyat mereka meninggalkan negara mereka, dan masalah bagi kita adalah PBB telah memberikan status pelarian kepada sebahagian daripada mereka. Ketika ini jumlah mereka mungkin pada kadar satu nisbah satu kepada penduduk tempatan".
.
Kenyataan di atas jelas melabel orang Sulu yang lari dari Filipina disebabkan peperangan itu sebagai rakyat Filipina serta kerisauannya terhadap status Pelarian yang diberi PBB itu. Selanjutnya beliau menulis:
.
"Mengulas tuntutan Filipina ke atas Sabah, tiada peringatan yang lebih memilukan untuk kita fikirkan apabila ahli Sejarah Dr James Ongkili menulis di dalam bukunya Modernisation in East Malaysia 1960-1970:
.
'... Filipina telah membelasah kuda mati dan Malaysia pula terlalu teragak-agak untuk menguburkan bangkainya, sementara Sabah terpaksa menghidu bau busuknya'.
.
Kenyataan terakhir ini beliau petik dari tulisan Dr. James Ongkili dengan bahasa berlapik tetapi jelas maksudnya adalah ditujukan kepada pelarian dari Sulu. Ia satu sindiran tajam kepada Kerajaan Malaysia kerana ramainya pelarian mahupun pendatang yang datang ke Sabah. Jika kita perhatikan kenyataan Dr. James Ongkili ini rakyat Sulu yang sememangnya sudah "kuda mati" itu dibelasah lagi oleh Filipina menunjukkan keadaan yang menyedihkan terhadap orang-orang Sulu iaitu diperangi oleh Filipina sehingga menjadi pelarian, melarat dan terbiar. Malaysia pula "teragak-agak" menguburkan bangkainya ini tidaklah menghairankan kerana kerajaan Malaysia sendiri adalah seagama dengan orang-orang Moro Sulu itu yang tentunya bersimpati dengan nasib mereka. Memang sepatutnya orang Islam membantu saudara seagamanya. Ataupun Malaysia mengambil kira faktor sejarah Kesultanan Sulu keatas Sabah. Akhir sekali kita turut bersimpati kepada Dr. James Ongkili dan rakyat Sabah keseluruhannya kerana "terpaksa menghidu bau busuknya". Perkara seperti ini tidak sepatutnya jadi momokan yang boleh mencetuskan huru-hara dan ketidak stabilan di Sabah. Ambil sikap berlapang dada dan berhemah kerana sebarang tindakan melampau tentunya akan menghasilkan tindak balas yang melampau yang akhirnya merugikan semua pihak.
.
Sekiranya kita mengikuti perkembangan laporan dari akhbar-akhbar semasa, perkataan seperti di atas adalah amat biasa kita dengar dan baca malah semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Keadaan seperti ini menuntut kesabaran yang tinggi daripada orang-orang Sulu itu lagi pun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana menyedari kedudukan mereka sebagai "pendatang" yang datang ke Sabah. Mereka tidak akan mampu membalas atau menjelaskan keadaan mereka yang dipandang negatif itu disebabkan sebahagian besar generasi baru pendatang Sulu yang lahir di Sabah adalah buta huruf kerana tidak berkemampuan atau berkelayakan (tiada pass perjalanan sah) untuk keluarga mereka menghantarnya ke sekolah kerajaan apatah lagi sekolah swasta.[6]


Nota kaki:

[1] Bahasa Suluk dipanggil Bahasa Sug oleh orang Tausug yang membawa maksud bahasa orang-orang Sulu.
[2] Zamboanga Today, Thursday, June 22, 2006, m.s. 11.- Datu Emmanuel D. Mangubat (Bato-Bato Sa Langit).
[3] Ibid, perenggan 3.
[4] Ibid, perenggan 5.
[5] Ibid, perenggan 6.
[6] Bermula akhir tahun 2005, waris Kesultanan Sulu dari keluarga Maharaja Adinda yang berada di Malaysia membuat satu program pendidikan di seluruh perkampungan orang-orang Sulu diseluruh Sabah terutamanya di sekitar Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan beberapa tempat di Kudat dengan bantuan para ustaz dan tuan-tuan guru dari semenanjung Malaysia. Program pendidikan ini termasuklah memberi ceramah agama (untuk mengurangkan penagihan dadah dikalangan muda-mudi Sulu di Sabah) dan membuka sekolah-sekolah sementara di rumah-rumah setinggan untuk anak-anak yang tak mampu dihantar kesekolah. Alhamdulillah program ini masih berjalan hingga hari ini (2007) sekalipun tanpa bantuan sesiapa. Yang mengapalai program dakwah ini ialah Tuan Guru Hj Abdul Halim Abas Kedah yang masuk kampung keluar kampung 'follow-up' para muallaf di Sabah dan berceramah di perkampungan setinggan orang-orang Sulu. Turut memberi pengajian berkala (sebulan sekali turun ke Sabah) ialah Syeikh Lokeman An-Naqshabandi Al-Ghazali serta beberapa orang ustaz-ustaz dari Jamaah PAS Kedah serta para Jamaah Tabligh yang istiqamah.