Wednesday, February 4, 2009

Tausug & Kesultanan Sulu - Sebelum & Sesudah Pemajakan Borneo Utara

Rahsia Di Sebalik Perjanjian Borneo Utara Yang Perlu Di Fahami.

KESULTANAN Sulu semasa era pemerintahan Sultan Jamalul A’zam @ A'lam sememangnya diiktiraf kedaulatannya keatas wilayah pemerintahannya di Sulu dan Borneo Utara. Keterpaksaan Sultan Jamalul A’zam memajakkan Borneo Utara kepada Syarikat British adalah disebabkan Sultan dengan bala tenteranya yang terdiri dari pahlawan-pahlawan Sulu (Tausug, Bajao, Yakan dll) sibuk memerangi Spanyol yang menyerang Sulu dan mengalami kekalahan demi kekalahan hinggakan Sultan sendiri berundur ke Borneo dan disinilah baginda dipujuk oleh Syarikat British agar menyerahkan Borneo Utara itu untuk diusahakan.
.
Sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang tajuk di atas, eloklah kita meneliti keadaan kerajaan Kesultanan Sulu ketika itu terlebih dahulu. Tanpa mengetahuinya dikhuatiri mudah sahaja bagi kita menuduh "Keluarga Kiram" sebagai penjual atau penggadai Negara Sulu dan Borneo Utara itu. Meletakkan kesalahan kepada Kiram semata-mata rasanya tidaklah adil, sebab itu perlulah dinilai secara kolektif suasana dan factor-faktor yang mempengaruhi pajakan itu. Salah dan silap yang dilakukan oleh pendahulu kita perlulah dilihat atau dirujuk semula sejarahnya dimana ia bermula agar kita dapat membetulkannya, setidak-tidaknya dapatlah diambil iktibar.
.
Provokasi Spanyol
Peperangan Spanyol terhadap Kerajaan Sulu sekitar 1867 adalah antara siri peperangan terakhir sebelum kekalahan mereka ditangan tentera Amerika Syarikat. Persoalannya mengapa Spanyol melancarkan serangan secara besar-besaran kali ini?
.
Sebenarnya penyebab utama kepada peperangan yang dicetuskan oleh Spanyol ke atas Sulu ini ialah disebabkan perhubungan rapat Kerajaan Sulu dengan pegawai British dan Jerman serta kerjasama perdagangan dengan kedua-dua kuasa Eropah itu. Ini menyebabkan Spanyol merasakan kedudukan perjanjian perdagangannya ataupun penguasaannya terhadap Kerajaan Sulu akan terjejas atau dirampas bila-bila masa oleh dua kuasa itu (Jerman dan British), sebab itu perlulah sesuatu dilakukan untuk menjajah dengan menumpaskan Kerajaan Kesultanan Sulu sepenuhnya agar Sultan Sulu dan rakyatnya yang terdiri dari datu-datu yang keras kepala itu tidak berkuasa lagi memeterai perjanjian dengan mana-mana kuasa asing yang lain. Kekuatiran Spanyol telah lama bermula apabila Sir John Hunt seorang egen British sekitar 1814 telah datang ke Sulu dan telah mula bersahabat dengan para Datu Diraja Sulu. Malah seperti yang dilaporkan oleh pencatat sejarah bahawa sejak zaman Sultan Bantilan Muezuddin (Maharaja Adinda) lagi pegawai-pegawai British sudah mula menjalin persahabatan dengan Sultan-sultan Sulu itu walau pun mungkin tidak secara rasmi.
.
Prof. Cesar menjelaskan:
"…pada tahun 1873 apabila dua buah kapal dagang Jerman, kapal-kapal Gazelle dan Maria Louisa telah dikepung di perairan Sulu dan muatannya dirampas. Tidak lama selepas itu pula sebuah kici Jerman, Minna, telah juga ditawan oleh angkatan laut Spanyol".[1]
.
Inilah tindakan provokasi awal yang dilakukan oleh Spanyol untuk membangkitkan kemarahan orang-orang Sulu. Jerman dan British membantah keatas tindakan Spanyol itu kerana perbuatan tersebut seolah-olahnya Spanyol telah benar-benar memiliki Sulu itu. Maka pada 7 November 1873, A.H. Layard, menteri British di Madrid telah menulis surat kepada kerajaan Spanyol:
.
"Adalah menjadi tugas saya untuk menyampaikan kepada kerajaan Spanyol bahawa kerajaan Duli Yang Maha Mulia (Ratu England -pen) mempunyai hak untuk mempertikaikan dakwaan terhadap kedaulatan Spanyol di Kepulauan Sulu yang tidak pernah diakui oleh mereka (orang-orang Sulu -pen)".[2]
.
Sekatan yang dilakukan oleh Spanyol terhadap laluan perdagangan di perairan Sulu menyebabkan penderitaan dikalangan orang-orang Sulu terutamanya para pedagang. Bot-bot Sulu yang enggan diperiksa akan ditembak dan dibunuh oleh Spanyol dan perkara ini menaikkan kemarahan Sultan Sulu dan para datu-datu yang kebanyakannya adalah saudagar.
.
"…tidak jauh dari pantai Jolo sebuah perahu Sulu yang membawa lapan orang termasuk seorang wanita, telah diperintahkan berhenti oleh kapal perang Spanyol, Valiente. Apabila perahu Sulu itu enggan berbuat demikian, perahu itu telah diburu dan ditembak sehingga menyebabkan tiga orang Sulu di dalam perahu itu terbunuh. Pihak Spanyol kemudian menuntut supaya Sultan Sulu menyerahkan lima orang yang telah melepaskan diri. Sultan enggan menyerahkan mereka itu dengan menghujah bahawa bukan sahaja yang lima orang itu tidak melakukan sebarang kesalahan tetapi mereka itu sebenarnya adalah penduduk-penduduk di daerah pedalaman dan yang demikian amatlah sukar untuk menangkap atau memujuk mereka untuk memenuhi tuntutan Spanyol itu".[3]
.
Spanyol menunggu lima orang rakyat Sulu itu keluar dan mereka tidak muncul-muncul seperti yang diminta maka dengan penuh geram dan kesombongan Spanyol melepaskan 100 das tembakan meriam dari kapal perangnya ke arah Jolo.
.
"Selepas beberapa hari, kapal perang itu datang semula dan menghantar bendera Spanyol dengan tuntutan supaya sultan mengibarkannya di ibu negeri beliau. Sultan kemudiannya memerintahkan supaya bendera Spanyol itu dibakar di hadapan orang ramai".[4]
.
Tindakan menyerahkan bendera Spanyol kepada Sultan Sulu untuk dipacakkan itu sebenarnya adalah satu tindakan provokasi kerana Spanyol sendiri tahu sultan yang sedang murka itu (kerana tindakan Spanyol menghalang perdagangan) akan bertambah murka. Sejak itu Spanyol mula membuat huru-hara dengan menembak meriam sesuka hati dan menggertak orang-orang Sulu. Ramai yang tidak berdosa terbunuh. Kemudian pada 2 Ogos 1873 Laksamana Spanyol, Juan Anteguera y Bobadilla telah mengisytiharkan:
.
"…semua kapal di Kepulauan Sulu yang dilayarkan oleh orang Islam hendaklah dimusnahkan dan anak-anak kapal dan penumpangnya dihantar sebagai buruh untuk melakukan kerja-kerja awam di bahagian utara Filipina. Jika kapal-kapal seperti itu lengkap bersenjata maka anak-anak kapalnya akan dianggap sebagai lanun dan boleh dihadapkan ke mahkamah tentera. Selanjutnya, semua kapal yang dipunyai oleh orang Islam walaupun tidak secara langsung dikendalikan oleh orang Islam akan dimusnahkan oleh kapal-kapal perang Spanyol. Orang Sulu tiada pilihan lain selain dari mempertahankan diri mereka".[5]
.
Maka peperangan Spanyol dengan orang-orang Sulu pun meletus.

Perang Terakhir Spanyol
Spanyol memberi penjelasan secara rasmi bahawa peperangan melawan orang-orang Sulu bermula 1867 itu adalah semata-mata untuk menguatkuasakan persetiaan-persetiaan yang telah dipersetujui di antara Spanyol dengan orang Sulu yang tidak dihiraukan lagi oleh orang Sulu itu. Tetapi penduduk mereka di Manila percaya bahawa tujuan utama peperangan itu adalah membenteras pelanunan.[6]
.
Kami akan menjelaskan peperangan terakhir Spanyol dengan orang-orang Sulu ini secara ringkas dan dapatlah kita melihat bagaimana Sultan Sulu itu mengatur strategi untuk mempertahankan negaranya Sulu yang dicintai itu. Kronologinya:
  • Pada 15 Februari 1876 angkatan tentera Spanyol yang kuat bertolak dari Manila menuju ke Zamboanga yang dikepalai oleh Gabenor General Jose Malcampo bersama 10 buah kapal berkuasa wap dengan 9,000 orang serdadu, 11 bot meriam dan 11 buah bot pengangkut. Mereka sampai di Jolo, Sulu pada 21 Februari.
  • Spanyol mendarat pada pagi 22 Fenruari di Patikul, empat batu ke timur Jolo bersama-sama paderi yang ramai dan beberapa orang rahib (begitu tinggi harapan para Jesuit ini untuk memurtadkan orang-orang Sulu).
  • Sultan Jamalul A’zam @ A'lam ibni Sultan Mohd Fadl Pulalun memanggil para datu-datu untuk mesyuarat tergempar. Turut dipanggil mesyuarat ialah para panglima serta ketua-ketua kaum di pedalaman (Tausug Buranun) termasuk para ulamak. Rancangan untuk bertahan dan berundur juga telah dirangka.
  • Panji Sultan Sulu dinaikkan (tentunya panji yang terdapat lambang keris dan tombak) dan para ulamak mengisytiharkan perang Jihad Fisabilillah terhadap Spanyol ke seluruh pelusuk Sulu dibawah panji-panji sultan.
  • Pertempuran mula meletus di Patikul antara tentera Spanyol dan pahlawan Sulu tetapi pahlawan Sulu terpaksa berundur ke kawasan pedalaman.
  • Spanyol mengejar tetapi mengalami banyak kematian kerana kehausan dan cuaca panas memaksa tentera Spanyol mengikut jalan pantai.
  • Pada 29 Februari Jolo dibedil secara berterusan oleh Spanyol serentak kemaraan unit-unit serdadu berjalan kaki. Walaupun kota-kota Sulu dengan benteng-benteng yang kukuh serta mempunyai parit-parit yang dalam akhirnya dapat dikalahkan satu persatu oleh Spanyol.
  • Sultan Sulu dan perwira-perwira baginda berundur ke Bud Datu kerana istana sultan telah dimusnahkan termasuk kediaman-kediaman dirajanya yang lain di Maimbung.
  • Spanyol mula membina kubu di Jolo dan perwira Sulu mengubah taktik peperangan secara gerila iaitu menyerang hendap pekerja-pekerja atau kumpulan-kumpulan kecil serdadu Spanyol. Perwira-perwira Sulu yang tidak suka melakukan serangan gerila pula mula bertindak sendiri sebagai Juramentado (menyerang ketengah musuh dan membunuh seramai mungkin musuh sebelum diri sendiri terbunuh) dan kebanyakan Juramentado adalah dari kaum Tausug Buranun (telah tercatat bahawa tiada seorang pun penyerang Juramentado yang terselamat melainkan mati syahid kesemuanya).
  • Sultan mula mengatur semula strategi di tempat persembunyiannya di lereng pergunungan Sulu kerana baginda mendapat berita bahawa garison Spanyol di Jolo itu mula ditulari penyakit berjangkit.
  • Perwira-perwira Sulu mula mengepung garison Spanyol yang ditulari penyakit itu dan Sultan Sulu pula mula mengadakan hubungan dengan kuasa-kuasa Eropah yang lain yang sebelum ini beberapa orang dari mereka (tentunya pegawai British) sering mengunjunginya.
  • Sultan Sulu masih dapat mengutip cukai kastam keatas pedagang-pedagang Eropah (tentunya di Borneo Utara) dengan bebas tanpa gangguan Spanyol kerana tentera Spanyol sebenarnya hanya menguasai garison mereka di Jolo itu sahaja.
  • Sultan Sulu memperhebatkan serangan-serangannya manakala Spanyol pula bermatian mempertahankan garisonnya di Jolo itu.
  • Ketika peperangan masih berterusan Sultan Sulu telah memajakkan Borneo Utara kepada Syarikat British Borneo Utara dengan menandatangani surat perjanjian pajakan itu pada 22 Januari 1878 antara Sultan Sulu dengan Baron Gustavus Von Overbeck.
  • Akhirnya Sultan Sulu dan Spanyol menandatangani persetiaan damai pada bulan Julai 1878 setelah Protokol Sulu pada 11 Mac 1877 ditandatangani oleh tiga kuasa iaitu Spanyol, British dan Jerman. Sultan masih menguasai perdagangan di pelabuhan Maimbung dan Parang selain pelabuhannya di Borneo Utara.[7]
  • Sultan Jamalul A’zam mengucapkan terima kasih kepada William Hood Treacher yang datang mengadap baginda untuk menyerahkan salinan Protokol Sulu (Spanyol, British dan Jerman) pada 15 Ogos 1877 kerana usaha pegawai-pegawai British itu menjalankan perdagangan dengan Sulu (semasa perang). Sultan Jamalul A’zam juga mengakui bahawa baginda terpaksa mengaku kalah kepada tentera yang lebih kuat dalam peperangan dan juga baginda memberitahu azamnya akan menentang habis-habisan penguatkuasaan kedaulatan Spanyol terhadap negaranya sekalipun baginda sendiri terpaksa berundur dari satu tempat ke satu tempat sehingga sampai ke wilayahnya di Borneo.[8]

Sekitar Pemajakan Borneo Utara
Pada 22 Januari 1878, Baron Gustavus Von Overbeck telah datang bersama William Wood Treacher (Setiausaha Tanah Jajahan bertugas di Pulau Labuan) telah menjadi saksi keatas pajakan Borneo Utara daripada Sultan Jamalul A’zam @ A'lam. Maka dengan rasminya Borneo Utara telah dipajakkan kepada Syarikat British Borneo Utara atas sebab tertentu oleh Sultan Sulu itu.
.
Sultan Jamalul A’zam telah memberitahu Gabenor General Spanyol, Domingo Moriones iaitu selepas enam bulan baginda menandatangani kontrak pajakan Borneo Utara itu dengan Overbeck adalah disebabkan dua sebab:
.
1. Beliau sebenarnya terdesak dengan serangan Spanyol dan ditambah pula oleh kenyataan dari Baron Overbeck itu bahawa gabenor general Spanyol itu sedang dalam perjalanan memusnahkan setiap milik orang Sulu.
.
2. Baron turut menyatakan bahawa Sultan Brunei dan pengikut-pengikut beliau telah bersedia untuk menduduki Sandakan yang sudah tentu beliau (sultan) tidak mampu menghalangnya (disebabkan tumpuan peperangan perwira-perwira Sulu adalah di Jolo menentang Spanyol ketika itu).[9]
.
Sultan Sulu ini turut menyatakan dalam laporannya bahawa gelaran Datu Bendahara dan Raja Sandakan adalah diilhamkan sendiri oleh Baron itu yang mana tauliah tersebut telah juga disediakan olehnya untuk ditandatangani oleh sultan. Kenyataan sultan tersebut sekiranya benar maka ia adalah luahan perasaan bahawa baginda telah menandatangani kontrak itu dipaksa. Tentunya Baron telah membuat tipu helah dengan cerita palsu seperti itu ketika sultan sendiri dalam keadaan tertekan kerana Jolo (ibu negerinya) telahpun jatuh ke tangan Spanyol (dengan membina garison disana). Seperkara lagi yang diperjelaskan oleh Sultan kepada Domingo Moriones itu ialah bayaran wang yang telah diberikan kepadanya oleh Baron itu adalah sebagai wang sewa.[10]
.
Pada 26 Jun 1878 iaitu selepas dua belas hari menjelaskan kepada Domingo, Sultan Sulu telah murka (mungkin mendapat laporan daripada datu-datu Tausug di Sandakan) dan membuat aduan kepada Treacher dengan menegaskan bahawa kedudukan Baron Overbeck sebagai datu dan raja dalam pemerintahan beliau merupakan seorang rakyat dan pegawai bawahan sahaja:
.
"...Beta telah melantik Baron Overbeck Datu Bendahara dengan permintaan beliau sungguhpun beliau adalah bangsa kulit putih. Dan dengan ini beliau mengaku sendiri sebagai salah seorang rakyat beta. Sekarang beta terkejut, beliau mendakwa sebaliknya pula bahawa orang Sulu adalah rakyatnya, dan beliau telah mengetepikan bendera beta. Ini tidaklah tersebut di dalam perjanjian bahawa beliau harus mengibarkan bendera untuk dirinya sendiri dan membuang bendera beta".[11]
.
Baginda sultan juga telah menegaskan kepada Treacher bahawa baginda tidak pernah menjual tanah kepada sesiapa (menjual tanah adalah pantang larang kerana tindakan menjual tanah sangat dikutuk oleh para Sultan-sultan Sulu sejak dahulukala lagi seperti yang tersebut di dalam Tartib Diraja Sulu itu). Selanjutnya baginda mengatakan bahawa terdapat perbezaan pengertian antara mengerjakan tanah dengan menjualkannya. Akhir kata dari Sultan Sulu yang murka ini kepada Treacher ialah bahasa yang berupa ugutan:
.
"Jika sekiranya sesuatu berlaku kepada orang-orang Inggeris di Sandakan maka Datu Bendaharalah (Baron Overbeck) yang akan bertanggungjawab".[12]
.
Perlu dijelaskan disini bahawa adat kebiasaan orang-orang Sulu itu terutamanya Tausug sangat memberi perhatian terhadap sebarang ugutan kerana ia melibatkan maruah. Seorang Tausug yang membuat ugutan sekiranya beliau tidak melakukan seperti yang dia ugut itu beliau boleh dianggap "dayus" dan memalukan maka dia akan melakukannya juga sekalipun mungkin diri sendiri terkorban, manakala seorang Tausug sekiranya mendapat ugutan pula adalah "dayus" dan juga memalukan sekiranya hanya berdiam diri dengan ugutan tersebut maka tentu beliau juga melawan ugutan itu sekalipun perlu mengorbankan dirinya asal maruahnya dapat dipertahankan.
.
Kata-kata Sultan Sulu yang berupa ugutan itu telah dijawab oleh Konsul Jeneral British:
.
"Oleh kerana tuanku masih mendakwa sebagai pemerintah daerah Sandakan, dan mengibarkan bendera tuanku, dan tuanku telah melantik wakil tuanku di sana, semua rakyat British yang tinggal di sana di bawah lindungan ihsan tuanku".[13]
.
Nampaknya pegawai British telah belajar dari pengalaman mereka yang lepas iaitu ketika mereka membuka penempatan dan kubu di Balambangan pada 1775, mereka telah diserang oleh seorang Datu Diraja Sulu sehingga penempatan dan kubu mereka di Balambangan itu ranap sama sekali hanya disebabkan perkara kecil yang dilakukan oleh pegawai British terhadap datu itu yang dianggap memalukan. Datu yang dimaksudkan itu ialah Datu Teteng @ Tating, anakanda kepada Dayang Meria Binti Sultan Badaruddin-I ibni Sultan Salahuddin Karamat @ Pengiran Bakhtiar ibni Sultan Mawallil Wasit-I @ Raja Bongsu-I.[14] Datu Teteng ini bukan sahaja ditakuti oleh British ketika itu malah turut ditakuti oleh Spanyol yang berpusat di Zamboanga.
.
Tidak seperti Spanyol yang menggunakan kuasa ketenteraan terhadap Sulu, British lebih suka dengan cara diplomatik sebab itu ketika mereka diserang oleh Datu Teteng, British tidak membuat tindak balas terhadap serangan itu walaupun mengalami kerugian yang besar kerana mungkin mereka sedia maklum dengan perangai orang Tausug itu ataupun tidak mahu mengeruhkan keadaan (kerana mereka ada agenda yang lebih besar keatas tanah Kesultanan Sulu iaitu Borneo Utara).


Nota kaki:

[1] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 422 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988).
[2] Ibid.
[3] Ibid, m.s. 423.
[4] Ibid.
[5] Ibid, m.s. 424.
[6] Memerangi pelanunan hanyalah alasan Spanyol untuk mewajarkan serangannya ke atas Sulu sebagaimana alasan Amerika Syarikat hari ini yang kononnya memerangi keganasan pelampau Islam untuk mewajarkan serangannya terhadap Afghanistan dan Iraq. Walaubagaimana pun aktiviti pelanunan yang dilakukan oleh kaum Iranun dan kaum Bajao Balangingi itu tidaklah dapat dinafikan kebenarannya tetapi tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memerangi Sulu kerana lanun itu pun muncul setelah Spanyol datang menjajah dan mengenakan peraturan-peraturan yang tidak munasabah kepada orang-orang Sulu.
[7] Prof. Cesar, Op. Cit. m.s. 428.
[8] Ibid, m.s. 430.
[9] Ibid, m.s. 388. Cerita Baron kepada sultan kononnya Sultan Brunei akan datang menyerang dan mengambil alih Sandakan adalah dirasakan benar oleh Sultan Sulu itu kerana sejak 1803 lagi orang-orang Brunei dan orang-orang Sulu sentiasa berperang (Sulu mendakwa duta utamanya di Brunei telah dibunuh). Orang Brunei merasakan bahawa Borneo Utara itu masih milik mereka sejak dulu sedangkan orang Sulu pula bermatian mempertahankan Borneo Utara dari dirampas oleh orang Brunei kerana nenek moyang orang Sulu mengatakan Borneo Utara itu telah dihadiahkan oleh Brunei sejak 1675 (atau 1704) lagi. Nampaknya kebenaran telah berpihak kepada Sulu iaitu pada 1877 Sultan Brunei telah menyerahkan Borneo Utara kepada Syarikat British untuk dipajak dan perjanjian pun telah dimaterai malangnya beberapa bulan kemudian Syarikat British mendapati sebahagian besar Borneo Utara itu sebenarnya dikuasai oleh Datu-datu Tausug dari Kesultanan Sulu. Akhirnya British terpaksa pula mendapatkan Sultan Sulu yang sememangnya adalah tuan punya Borneo Utara itu. Maka termeterailah perjanjian pajakan 1878 antara Sultan Sulu dan Syarikat British yang kekal hingga hari ini.
[10] Ibid, m.s. 435.
[11] Ibid.
[12] Ibid, m.s. 436.
[13] Ibid.
[14] Rujuk: Peristiwa-Peristiwa Berdarah di Sabah : Datu Tating Mengganas - Oleh Ismail Abbas dan K.BALI, m.s. 1-9 (DBP:1987). Catatan sejarah tentang Datu Teteng juga terdapat dalam buku: Islam Di Filipina. Prof. Cesar, Op. Cit. m.s. 383 - 386. Datu Teteng digambarkan sebagai seorang Datu Diraja yang dihormati tetapi digeruni oleh British dan Spanyol selepas tindakannya memusnahkan kubu British di Balambangan. Serangan Datu Teteng itu dikatakan kerana ingin menebus maruahnya yang tercalar oleh penghinaan dari pegawai British yang ketika itu Datu Teteng adalah kontraktor yang membina kubu British di Balambangan. Sultan Muhammad Isra'il yang memberikan konsesi kepeda British untuk membina kubu di Balambangan itu tidak dapat berbuat apa-apa atas tindakan Datu Teteng. Keperkasaan Datu Teteng berjaya menghancurkan kubu British di Balambangan ini telah menjadi buah mulut penduduk Sulu (kerana dikatakan Datu Teteng mempunyai tanduk di dahi dan tidak lut ditembak atau ditetak). British tidak bertindak balas (mungkin mereka maklum akan kesalahan pegawai mereka yang celupar) cuma meminta kepada Sultan Sulu mengembalikan beberapa harta rampasan yang dirampas oleh Datu Teteng.

No comments:

Post a Comment